suria

Soros Sokong Hak Asasi Manusia - Marina Mahathir

Marina Mahathir
PETALING JAYA: Aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir menafikan George Soros telah menyalurkan jumlah wang yang besar kepada badan pemantau pilihan raya Bersih, sambil menggambarkan jutawan itu sebagai 'dermawan yang menyokong prinsip hak asasi manusia'.


Marina berkata, Soros telah memberi sumbangan kepada rakyat Bosnia dan sudah menjadi perkara biasa apabila Soros menderma secara besar-besaran kepada kerja-kerja amal, justeru beliau tidak tahu mengenai kewujudan Bersih.


"Kami berharap terdapat saluran untuk membiarkan Soros tahu mengenai kewujudan Bersih.

"Tetapi dia tidak tahu tentang kami dan walaupun adanya khabar angin, dia tidak memberikan kami apa-apa.

"Jika dia telah kenal dengan Bersih dan telah memberikan kami RM3.2 bilion, bank pusat akan memaklumkannya," kata Marina dalam satu majlis anjuran Bersih 5 di Kedah pada Isnin dan dilaporkan dalam Sin Chew Daily.

Marina berkata beliau telah bertemu Soros 10 tahun lalu di Kuala Lumpur apabila bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad  mengadakan pertemuan dengan pengurus dana lindung nilai.

Soros berada di Malaysia pada Disember 2006 sebagai sebahagian daripada lawatan serantau untuk mempromosikan bukunya, 'The Age of Fallibility'.


Dr Mahathir, perdana menteri ketika itu telah mengutuk Soros kerana menyebabkan krisis kewangan Asia pada 1997/98.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa Open Society Foundations (OSF), yang dibiayai oleh Soros, telah memberi sumbangan kepada beberapa organisasi tempatan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Pada 31 Oktober, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa siasatan ke atas dakwaan tersebut.

Pada Sabtu, Dr Mahathir berkata dakwaan bahawa Soros terlibat dengan Bersih 2.0 adalah sebahagian daripada percubaan untuk membatalkan perhimpunan Bersih 5 pada 19 November.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah telah dilaporkan berkata bahawa Bersih hanya menerima pembiayaan sekali sebanyak RM70,000 daripada OFS antara tahun 2010 dan 2011 atau kira-kira 11 peratus daripada pendapatan Bersih.

Beliau berkata selepas 2011, Bersih tidak menerima sebarang dana lain dan menerima sumbangan daripada orang ramai.
OSF, George Soros, Marina Mahathir

Artikel Berikut

Artikel Lain