suria

Projek Karavan Tani Fama Catat Nilai Jualan Lebih RM19 Juta

Badruddin (tiga, kanan) bersama usahawan 'food truck' ketika merasmikan Seminar Transformasi Peruncitan Karavan Tani/Food Truck 2016 pada Selasa. Foto Bernama

MELAKA: Projek karavan tani di bawah Fama mencatatkan nilai jualan lebih RM19 juta melibatkan penyertaan 250 usahawan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini. 

Pengerusi Fama, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, inisiatif penjualan barangan tani menggunakan karavan atau 'food truck' dilihat mempunyai potensi besar dari segi pendapatan lumayan dan pasaran yang lebih luas. 

"Kita menyasarkan kira-kira 1,000 usahawan terutama golongan muda beralih menjalankan perniagaan menggunakan karavan di 648 pasar tani dan 86 lokasi program 'MyBest Buy' sedia ada di seluruh negara menjelang 2020. 

"Jadi keutamaan akan diberikan kepada usahawan yang berurus niaga menggunakan karavan ini sama ada di bawah Fama atau persendirian kerana mereka telah mengeluarkan modal membeli lori dan sebagainya," katanya.  

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Transformasi Peruncitan Karavan Tani/Food Truck 2016 di sini, Selasa yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) Fama, Ab Razak Ab Majid, dan Pengarah Fama Melaka, Mohd Nawi Othman. 

Mengulas lanjut, Badruddin berkata, Fama juga menyasarkan pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM5,000 setiap bulan bagi seorang usahawan yang menggunakan karavan pada tahun hadapan selaras dengan peningkatan taraf hidup. 

"Bagi mencapai hasrat itu, kita akan bergerak secara berperingkat ke seluruh negara untuk mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri atau Menteri Besar dan pihak berkuasa tempatan di setiap negeri bagi memohon lokasi yang sesuai kepada usahawan karavan menjalankan perniagaan mereka. 

"Antara masalah peniaga karavan ini ialah mereka tidak ada lokasi tetap untuk berniaga dan sering disaman pihak berkuasa. Keadaan ini sedikit menjejaskan perniagaan mereka. Mereka sudah berusaha, jadi Fama yang terlibat dalam sektor pemasaran akan membantu mereka," katanya. 

Sementara itu, Badruddin berkata, Fama menyediakan pelbagai bantuan bagi membantu usahawan karavan termasuk geran sebanyak RM15,000 untuk mengindahkan karavan mereka agar mampu menarik tumpuan pengunjung. - Bernama

Fama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain