suria

Syarikat Barangan Runcit Didakwa Simpan Barang Kawalan Di Premis

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat barangan runcit didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyimpan barang kawalan iaitu minyak masak, gula dan tepung di premis yang tidak berlesen, bulan lepas.

Syarikat itu, Bhuiyen Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Md Billal Hossain Bhuiyan Md Sabil Bhuiyan, 46, seorang warga negara Bangladesh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin.

Syarikat itu yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) didakwa menyimpan barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak masak jenama Syed satu kilogram (kg) sebanyak 515 kg, minyak masak jenama Saji 5kg sebanyak 170kg, gula pasir kasar jenama Mas sebanyak 620 kg dan tepung gandum jenama Blue Key satu kg sebanyak 263kg.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam premis Bhuiyen Sdn. Bhd. di 8/10 tingkat bawah, Jalan Yew, Off Jalan Pudu, di sini pada 12.17 tengah hari, 27 Oktober lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3 juta manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Md Billal Hossain Bhuiyan, sebagai pemilik syarikat itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah menyebabkan barang kawalan itu disimpan di lokasi, masa dan tarikh sama.

Tertuduh, yang memiliki taraf kerakyatan pemastautin tetap didakwa mengikut Seksyen 22 (1) akta sama yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah membenarkan lelaki itu yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 November untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes.-- Bernama

Bhuiyen Sdn Bhd, Bangladesh

Artikel Lain