suria

Banyak Rumah Tumpangan Di P.Pinang Bakal Ditutup

GEORGE TOWN: Harapan untuk beratus pengusaha rumah tumpangan dan asrama di sini mendapat manfaat daripada industri pelancongan Pulau Pinang bernilai jutaan ringgit nampaknya sudah berakhir.

Tidak dapat menampung keperluan ketat perlesenan oleh kerajaan negeri, banyak premis yang mula 'gulung tikar'.

"Impian kami sudah berakhir. Mustahil untuk kami mematuhi peraturan kerajaan," kata pemilik Menu Cafe dan Lodge, Jack Ong.

Beliau ditemui ketika menurunkan papan tanda premisnya, Isnin.

Kerajaan Pulau Pinang telah bertindak tegas terhadap 266 pengendali rumah tumpangan, asrama dan hotel bajet, yang kebanyakannya menjalankan perkhidmatan rumah tumpangan di rumah-rumah peninggalan pra-perang di kawasan warisan.

Exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow berkata hotel-hotel tidak berlesen dengan lesen sementara diberikan lanjutan akhir sehingga 31 Oktober mengemukakan pelan bangunan mereka bagi memohon kebenaran merancang.

Beliau berkata, daripada 266 rumah tumpangan itu, hanya 99 yang mengemukakan pelan yang diperlukan. Hanya enam buah yang melepasi semua kriteria dan menerima lesen kekal.

Beliau memberi amaran bahawa penguatkuasa majlis bandaraya akan meruntuhkan premis pengendali-pengendali baharu yang tidak layak untuk memiliki lesen sementara mulai sekarang.

Pengendali akan dibawa ke mahkamah di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

"Mereka yang tidak mempunyai lesen sementara perlu mengikuti prosedur ketat di bawah Rancangan Khas Kawasan (SAP) George Town," kata Kon Yeow pada sidang media di Komtar, Isnin.

SAP itu yang baru diwartakan tidak membenarkan penginapan bajet baharu dilesenkan di kawasan warisan. Hanya hotel butik dan hotel yang mempunyai penarafan bintang dibenarkan di jalan-jalan tertentu.

Kon Yeow berkata kerajaan negeri tidak memusnahkan perniagaan rumah tumpangan dan hotel bajet tetapi pengendali perlu mematuhi peraturan.

"Pemilik premis perlu tampil bersama rancangan dan arkitek untuk berunding dengan majlis bandaraya, badan pemuliharaan warisan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum memulakan perniagaan rumah tumpangan," katanya.

Pemilik hostel Clockwise Place, Teresa Hii, yang menutup perniagaannya pada Isnin menyifatkan lesen sementara itu sebagai 'kekecewaan'.

"Jika saya tidak pernah mempunyai peluang untuk mendapatkan lesen kekal sejak awal, kerajaan tidak patut memberikan harapan palsu kepada saya.

"Mereka sepatutnya memberitahu saya dan pasangan saya sebelum kami membelanjakan lebih RM200,000 untuk pengubahsuaian," katanya sambil menangis.

Hii, 32, berkata beliau memulakan perniagaan pada tahun 2012 bersama pasangannya. Mereka menyewa premis zaman pra-perang di Stewart Lane tanpa menyedari bahawa ia telah dizonkan untuk tujuan kediaman sahaja.

Artikel Lain