suria

MAS, AirAsia Sambut Baik Perubahan Dalam Caj Lapangan Terbang Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd menyambut baik perubahan dalam caj lapangan terbang di Malaysia yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017.

Awal tahun depan, caj lapangan terbang Kuala Lumpur akan menjadi sama untuk penerbangan domestik dan Asean dan pihak berkuasa merancang untuk penyamaan sepenuhnya menjelang 1 Januari 2018.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif, Peter Bellew berkata, caj baharu itu akan menyaksikan pengurangan kira-kira RM35 bagi setiap penumpang Asean di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang akan menjadi harga yang sama dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

"Pelanggan kami mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana terminal yang mereka kehendaki di Kuala Lumpur," katanya.

Bellew berkata, bagi meraikan penyamaan itu, syarikat penerbangan itu akan mengadakan jualan "Tambang Kebebasan' mulai 2 hingga 8 November ini bagi laluan Asean terpilih dengan tambang termasuk semua daripada RM149 serta domestik daripada RM99.

"Ia adalah berita penting yang disahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hari ini yang mereka akan melaksanakan penyamaan penuh ke atas laluan antarabangsa mulai 1 Januari 2018.

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan Mavcom bagi melaksanakan penyamaan penuh pada 2018 untuk penerbangan antarabangsa," katanya.

Menurut Bellew, syarikat penerbangan di KLIA2 akan menikmati penjimatan pada 2017 sebanyak RM23 daripada penerbangan antarabangsa yang bernilai kira-kira RM250 juta setahun.

"Industri Malaysia perlu memasarkan Kuala Lumpur secara bersama bagi menarik perkhidmatan antarabangsa baharu daripada pelbagai syarikat penerbangan. Sistem caj yang sama akan membantu mendapatkan penerbangan jarak jauh baharu," katanya.

Sementara itu AirAsia berkata ia merupakan langkah baik susulan penurunan trafik pelancongan.

Dalam kenyataan bersama AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd pada Isnin, ia juga dikatakan sebagai tepat pada masanya ketika kumpulan itu meraikan Asean 50 yang akan menggalakkan integrasi bagi rakyat Asean.

"Bagaimanapun, kami bimbang dengan kadar antarabangsa yang baharu, terutamanya bagi hab kami di Kota Kinabalu, Sabah. Penumpang antarabangsa kini perlu membayar berganda bagi PSC.

"Ini boleh mengurangkan jumlah pelancong antarabangsa," katanya.

Berkenaan persaingan yang sama rata, AirAsia dan AirAsia X mengulangi bahawa kemudahan yang disediakan di KLIA dan KLIA2 tidak setara antara satu sama lain dan menyatakan penumpang AirAsia dan AirAsia X berhak mendapat pengalaman pengguna yang sama dengan KLIA sebelum bayaran boleh disamakan.

"Kemudahan di kedua-dua lapangan terbang perlu disamakan antara satu sama lain, jika tidak, kami gembira untuk menimbang memindahkan operasi AirAsia dan AirAsia X ke KLIA," kata kumpulan itu.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada Isnin telah memperkenalkan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang baharu untuk penerbangan ke negara-negara Asean iaitu sebanyak RM35 setiap penumpang berbanding RM65 sekarang ini.

Caj peringkat baharu bagi Asean itu dibuat selepas semakan semula kadar PSC yang yang mengenakan caj sebanyak RM11 untuk penerbangan domestik sehingga RM73 bagi penerbangan antarabangsa dari semua lapangan terbang dan RM50 bagi KLIA2.

Sekarang ini, kadar PSC untuk penerbangan domestik adalah RM9 untuk lapangan terbang antarabangsa dan RM6 bagi KLIA2. 

Kadar untuk penerbangan antarabangsa, termasuk ke negara-negara Asean adalah RM65 di lapangan terbang antarabangsa dan RM32, jika berlepas dari KLIA2.

MAS, AirAsia, caj lapangan terbang, PSC, Mavcom

Artikel Lain