suria

Watak The Avengers Kini Di Singapura

Wong (kanan) dan Adrian Chen (kiri) bersama karaktor Spiderman dan Captain America di Singapura.

SINGAPURA: Marvel Avengers S.T.A.T.I.O.N. mencatat rekod baharu bagi acara pameran di Singapura apabila lebih 8,000 tiket pra-pelancaran berjaya dijual.

Pameran interaktif yang membuat penampilan pertama di Asia Tenggara ini diadakan di Pusat Sains Singapura (SCS) mulai Sabtu - dibawakan oleh Kumpulan Media Star.

Ia akan berlangsung sehingga 5 Mac tahun depan di Dewan Annex SCS.

Kumpulan Media Star memiliki 53 peratus saham Cityneon Holdings Ltd melalui anak syarikat Victory Hill Exhibitions Pte Ltd (VHE) iaitu syarikat yang mempunyai hak untuk mempamerkan watak-watak dari siri Marvel dan Avengers.



Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, pameran itu mendapat sambutan hangat dan telah menetapkan rekod baharu untuk jualan tiket pra-pelancaran berbanding pameran yang sama sebelum ini.

"Orang dewasa dan kanak-kanak berpeluang memenuhi fantasi zaman kanak-kanak mereka kerana saya percaya setiap orang antara kita mahu melihat watak-watak Avengers 'hidup' di luar layar perak," kata Wong di sini pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden VHE, Ron Tan berkata pameran itu tidak akan terhenti hanya di Singapura sebaliknya akan diperluaskan ke Taipei dan Australia.

"Pameran ini adalah yang terbesar setakat ini di kawasan seluas 20,000 kaki persegi dan menggunakan kira-kira 16,900 meter kabel elektrik untuk 'menghidupkan' komik ini," kata Tan.

Pameran ini diadakan selepas kejayaannya di New York, Paris, Seoul dan Las Vegas.

Tiket untuk pameran itu boleh dibeli dalam talian di http://stationexhibit.sg.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain