suria

Dua Rakyat Malaysia Ditahan Seludup Dadah Di Bali

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai di Denpasar, Bali kerana cuba menyeludup dadah ke pulau peranginan itu.

Menurut Jakarta Post pada Jumaat, Aliff Affan Azhar dan Muhammad Shahzadi Shariff dilaporkan ditangkap sebaik tiba di lapangan terbang itu dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH 851 dari Kuala Lumpur pada 20 Oktober lalu.

Ketua Kastam dan Eksais Ngurah Rai Budi Harjanto berkata, pegawainya menemui 70.67g ganja, 2.89g methamphetamine kristal, 15 pil ekstasi dan 150 pil nimetazepam (Happy 5) pada mereka.

"Mereka didakwa menyembunyikan ganja itu di dalam stokin. Sementara meth kristal, pil ekstasi dan Happy 5 ditemui di dalam bagasi Aliff," kata Budi pada satu sidang media Jumaat.

Akhbar Indonesia itu memetik beliau berkata, kedua-dua suspek menunjukkan tingkah laku yang mencurigakan apabila bagasi mereka melalui mesin X-ray.

Polis Bali bahagian dadah dilaporkan bersedia untuk meneruskan siasatan memandangkan kedua-dua suspek dan bahan bukti telah diserahkan oleh pegawai kastam kepada polis pada Jumaat.

Jika didapati bersalah, kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda Rp10 bilion (US$765,404).

Mereka akan didakwa kerana melanggar Artikel 113 (1) undang-undang narkotik 2009.

Dadah, Bali

Artikel Sebelum

Artikel Lain