suria

Kisah Jururawat Terpikat Tudung Jemaah Sakit

ASSALAMUALAIKUM. Minggu lalu saya bercerita mengenai jemaah tersilap tag nama ketika menjalani rawatan di klinik Tabung Haji di Hotel Safwa Royale Orchid di Makkah dan minggu ini pula, penulis membawa pembaca mengikuti pengalaman jemaah dirawat di Ajyad Emergency Hospital.

Di mana tempatnya? Di paras bawah Hotel Safwa Royale Orchid. Kali ini saya membawa jemaah dari Perak menjalani rawatan di situ. Sebelum itu, saya pernah menguruskan jemaah umrah warga emas dirawat di hospital itu kerana tidak berdaya akibat kurang selera makan.

Pengalaman dilalui membantu saya. Justeru, apabila membawa jemaah haji ke hospital berkenaan, sedikit sebanyak saya memahami keperluan untuk menjalani rawatan di situ. Pesakit hanya perlu menunjukkan tag nama atau salinan muka depan pasport.

Ketika musim haji, salinan pasport tiada bersama dan Alhamdulillah, tag nama jemaah memadai untuk mendaftar sebelum menjalani rawatan lanjut.

Saya dimaklumkan bahawa Hajah Zubaidah tidak sihat dan memerlukan rawatan di klinik kesihatan Tabung Haji di Hotel Saraya Ajyad yang terletak kira-kira 200 meter dari hotel penginapan kami.

Justeru, selepas sarapan, saya mengetuk pintu bilik beliau dan terkejut melihat keadaannya.

“Kak Ida semput…kesiannya,” ujar saya spontan.

Beliau mengangguk dan sedikit tercungap. Ubat yang diambil tidak mampu meredakan lelah dan batuk. Demamnya kadangkala kebah dan adakala tinggi. Amat belas melihat keadaan kak Ida ketika itu. Jemaah sebilik, Misliah, kak Rohani dan kak Nazmah (adik kak Ida) turut melahirkan perasaan kasihan melihat keadaannya.

Tanpa berlengah, saya membawa kak Ida dan turut ditemani kak Nazmah yang begitu prihatin terhadap tahap kesihatan kakaknya itu.

“Kak nak pergi klinik Tabung Haji ke?” tanya saya.

“Jauh tak dari sini?” tanya kak Ida.

“Kira-kira 200 meter. Kak boleh jalan tak?” tanya saya lagi.

“InsyaAllah boleh,” balasnya perlahan.

Saya risau melihat kak Ida. Saya dan kak Nazmah memapah di kanan serta kiri. Kami berjalan perlahan. Hotel penginapan kami terletak bersebelahan Hotel Safwa Royale Orchid. Keluar dari bangunan Abraj Al-Bait yang menempatkan hotel penginapan kami, saya terserempak seorang jemaah lelaki.

“Ke mana hajah?” sapa beliau.

“Klinik Tabung Haji di Saraya Ajyad…” balas saya ringkas.

“Kenapa tak naik kerusi roda?” tanya beliau lagi.

“Jemaah kata boleh jalan lagi,” ujar saya.

Saya memandang kak Ida dan bertanya lagi. Dia tetap mengatakan insyaAllah.

“Kak, dekat sini ada hospital (sambil menunjukkan laluan ke Safwa Royale Orchid). Ana pernah bawa jemaah umrah jalani rawatan di situ,” ujar saya.

“Kita boleh pergi ke situ ke?” tanya kak Ida.

“Boleh. Seingat Ana, hospital tu tak kenakan bayaran,” ujar saya terus.

“Oh ye ke? Dekat mana tu Ana?” tanya kak Ida.

“Sebelah ni saja kak. Ana boleh bawa jika kakak setuju,” balas saya lagi.

“Baiklah, kita pergi hospital saja Ana. Lagipun dekat,” ujar beliau.


Sejurus masuk ke dalam Ajyad Emergency Hospital, saya terus membawa kak Ida ke dalam bilik rawatan di sebelah kanan dan mengatakan pesakit mengalami lelah dan berkemungkinan memerlukan nebulizer.

Tanpa berlengah, jururawat bertudung putih yang dikenali sebagai Lorna, terus meminta kak Ida baring di atas katil sementara menunggu kedatangan doktor. Pada masa yang sama, tekanan darah diperiksa dan Alhamdulillah, tekanan darah normal.

Tidak sampai 10 minit, doktor tiba dan bertanya masalah dihadapi. Saya mengatakan jemaah saya sukar bernafas, sukar tidur kerana batuk yang teruk, lelah dan kadangkala demam. Beliau memeriksa kak Ida seketika dan menyarankan agar dia menerima rawatan lanjut.

Jururawat kemudiannya meminta saya mendaftar nama pesakit di kaunter pendaftaran di luar bilik rawatan. Saya menuju kaunter pendaftaran dan memberi tag nama jemaah dan bertanya adakah hospital itu mengenakan sebarang bayaran.

Tiada bayaran dikenakan ketika daftar. Di dalam bilik rawatan, saya bertanya jururawat Lorna dari Filipina mengenai bayaran selepas rawatan. Beliau mengatakan tiada bayaran kerana hospital kerajaan.

Kira-kira 10 minit kemudian, kak Ida menjalani rawatan lanjut di dalam sebuah bilik. Beliau menerima nebulizer dan berehat di situ kira-kira setengah jam.

Sementara menunggu kak Ida menjalani rawatan, saya berbual dengan kak Nazmah. 

“Bersih hospital ini. Tak ada orang pula tu. Sunyi saja,” ujar kak Nazmah.

“Betul kak. Sepi saja,” balas saya.

Saya menjengok semula kak Ida selepas beberapa ketika. Dia masih menyedut ubat dibekalkan lalu saya menghampiri katilnya.

“Dah habis ubat ni. Mereka tunggu apa pula?” ujar saya pada kak Ida.

Saya menghampiri jururawat yang sedang khusyuk menulis untuk bertanya perihal kak Ida.

Jururawat maklumkan bahawa ubat-ubatan sedang disediakan dan pesakit akan dibenarkan pulang sejurus itu.

Selesai rawatan, lima jenis ubat diberikan kepadanya.

“Ana cakap betul-betul ada bayaran atau tidak?” tanya kak Ida bersungguh.

“Tak ada. Kak jangan risau,” balas saya.

“Betul ke? Atau kamu dah bayar tadi?” tanya kak Ida lagi.

“Ana tak bayar apa pun kak. Jangan risau. Memang tak ada bayaran sebab ini hospital kerajaan,” balas saya.

Selesai rawatan, kak Ida tidak lagi kelihatan begitu lemah dan dia mampu tersenyum ketika mengucapkan terima kasih kepada Lorna yang begitu berkenan dengan tudung yang dipakai dan mahu membelinya jika ada.

“Ana, kak Ida ada lagi tudung macam ini tapi warna merah. Tapi kak Ida dah pakai tudung tu masa datang sini (Makkah). Boleh ke bagi pada dia? Memang sesuai sangatlah dengan kulit dia,” ujar kak Ida.

“Boleh saja kak. Mesti dia tak kisah. Nanti Ana bagi tahu dia,” ujar saya.

Saya maklumkan pada Lorna dan beliau gembira bukan kepalang. Setelah tiba di bilik hotel, kak Ida terus mengambil tudungnya lantas memasukkannya ke dalam plastik untuk diserahkan kepada Lorna.



Sejurus itu, saya berjalan semula ke hospital dan menyerahkannya kepada Lorna yang begitu gembira dan memeluk saya dengan erat. Terpancar keriangan pada wajahnya dan sempat bercerita mengenai dirinya yang sudah lapan tahun bekerja sebagai jururawat di Tanah Suci Makkah.

Alhamdulillah, keadaan kak Ida beransur pulih. Begitu juga beberapa lagi jemaah lain yang turut menjalani rawatan di klinik Tabung Haji sebelum itu. Antaranya, kak Arfah, yang begitu kuat semangat melawan penyakitnya dan akhirnya demam sehingga menggigil pada suatu petang dan perlu menjalani rawatan di klinik.

Saya sendiri batuk yang agak teruk tetapi Alhamdulillah setelah mengambil ubat di klinik Tabung Haji dan farmasi Halawani, batuk semakin berkurangan tetapi tidaklah pula berhenti sepenuhnya sehingga saya pulang ke tanah air.

Namun, hakikatnya, demam yang tidak kebah, batuk berpanjangan, selesema, gatal-gatal kulit, sakit tekak antara penyakit ringan yang sering dihidapi jemaah.

Namun, Alhamdulillah, tiada yang serius dan memerlukan rawatan lanjutan berhari-hari di hospital atau klinik Tabung Haji.

Pesan saya, biarpun tidak sihat, makanan perlu diambil dan mesti minum banyak air zamzam atau air mineral kerana tidak dinafikan, ada segelintir jemaah yang tidak mahu makan kerana tekak terasa tidak enak atau perit untuk menelan serta kurang minum.

Hakikatnya, nikmati hidangan yang disediakan tetapi bagi mereka yang memang berpenyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau apa sahaja penyakit sedia ada, berusahalah untuk menjaga pemakanan dengan baik untuk melancarkan ibadat dan demi memelihara kesihatan.

Apa pula kisah jemaah setelah kami berangkat ke Madiah pada 2 Oktober. Ikuti catatan saya minggu depan insyaAllah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain