suria

Tempah Insurans Pengembaraan Dalam Talian Di Sutra.my

Syed Mohd Razif (kiri) bersama Nik Norishky pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sutra Travel Management Sdn Bhd dan Hong Leong MSIG Takaful untuk produk perlindungan insurans pengembaraan di portal Sutra.my.

PETALING JAYA: Merancang percutian di hujung jari akan menjadi lebih mudah selepas ini dengan perlindungan insurans pengembaraan yang boleh didapati secara dalam talian menerusi portal tempahan pengembaraan Sutra.my.

Ia dikatakan sebagai insurans pengembaraan secara dalam talian yang pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Sutra Travel Management Sdn Bhd, Datuk Syed Mohd Razif Al Yahya berkata, ia merupakan kerjasama antara Sutra Travel dan rakan niaganya, Hong Leong MSIG Takaful bagi memudahkan pengembara membeli insurans untuk perlindungan sepanjang mengembara.

“Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mewujudkan kepelbagaian buat pengembara dengan lebih efektif dan efisien menerusi platform Sutra.my.

“Perlindungan insurans ini juga sebagai pilihan tempahan bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa perlu menempah produk lain di Sutra.my terlebih dahulu,” katanya kepada mStar Online.

Terdahulu, Sutra Travel Management mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Hong Leong MSIG Takaful yang diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Nik Norishky Thani Nik Hassan.

Syed Mohd Razif Al Yahya.

Syed Mohd Razif berkata, pada peringkat permulaan polisi perlindungan insurans yang diperkenalkan itu meliputi individu dan keluarga, serta bergantung kepada destinasi dan tempoh perjalanan.

“Kita akan mempelbagaikan lagi pasaran insurans ini dari semasa ke semasa, mengikut kesesuaian dan kategori pengembara,” katanya sambil menambah bahawa Hong Leong MSIG Takaful merupakan rakan niaganya ke-12 untuk Sutra.my.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat tempahan perlindungan insurans berkenaan bermula pertengahan November depan.

“Kita menyasarkan seramai 5,000 pembeli perlindungan insurans di Sutra.my dalam tempoh setahun.

“Dengan pengenalan produk insurans ini, kita menjangkakan peningkatan 25 peratus perolehan dan bilangan pengunjung ke portal ini,” katanya.

Sutra.my yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu merupakan portal pusat sehenti bagi tempahan pengembaraan global pertama di Malaysia, dengan lebih sejuta produk antaranya penerbangan, hotel, apartment, bas, kereta api, kereta sewa, tempat-tempat menarik dan pakej pelancongan.

Artikel Lain