suria

Johor Umum Pampasan Kepada Waris, Mangsa Kebakaran HSA

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor memutuskan akan memberi pampasan kepada waris dan mangsa kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Selasa, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada Rabu.

"Kita buat keputusan setiap mangsa yang meninggal dunia, waris akan menerima pampasan sebanyak RM2,000, manakala mangsa yang cedera parah akan terima  RM5,000 dan mangsa yang cedera sebanyak RM3,000," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Unit Swadaya Insan Negeri Johor di sini Rabu.

Bagi upacara pengkebumian pula, Menteri Besar itu meminta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri R. Vidyananthan melihat implikasi kos terhadap keluarga mangsa bagi bantuan kerajaan negeri.

"Ini merupakan sumbangan kerajaan negeri johor kepada mereka," kata beliau.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled juga berharap Kementerian Kesihatan menyediakan pelan kecemasan agar perkara ini tidak berulang.

"Kita mengharapkan supaya kementerian ada benda-benda begitu (pelan kecemasan) dan kita juga percaya bahawa perkara seperti ini tidak akan berulang dan juga mengambil iktibar apatah lagi bangunan yang sudah begitu lama seperti HSA," kata beliau ketika mengulas sama ada kerajaan negeri akan menyediakan pelan kecemasan bagi hospital berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi semalam, enam pesakit maut apabila wad Unit Rawatan Rapi di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar, manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan.

Tiga kakitangan hospital itu cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Artikel Sebelum

Artikel Lain