suria

Malaysia, Vietnam Tingkat Hubungan Pertahanan Ke Tahap Lebih Strategik

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk meningkat hubungan pertahanan ke tahap lebih strategik dengan menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin berkata langkah itu akan membolehkan lebih fokus dan rangka kerja berstruktur antara institusi pertahanan kedua-dua negara.

"Saya merasa bangga untuk mengumumkan bahawa mesyuarat sulung HLC yang dipengerusikan menteri pertahanan Malaysia dan Vietnam akan diadakan pada 2017.

"HLC ini akan membolehkan kedua-dua negara meneroka kaedah yang lebih inovatif bagi menjana kerjasama pertahanan dalam bidang kerjasama ketenteraan, industri pertahanan, kerjasama teknologi dan hal ehwal strategik," katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Hishammuddin dan rakan sejawatannya dari Vietnam, Jeneral Ngo Xuan Lich bertemu di sini hari ini sempena kunjungan rasmi Lich ke negara ini.

Hishammuddin berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan hubungan lebih kukuh dalam industri pertahanan, potensi dalam kemudahan pembangunan penyenggaraan, baiki dan baik pulih selain sokongan logistik bagi helikopter dan pesawat pejuang.

"Syarikat daripada kedua-dua negara boleh bekerjasama bagi bekalan peralatan dan bahan serta menyediakan perkhidmatan bagi aset di Malaysia dan Vietnam," katanya.

Beliau dan Lich turut berbincang isu seperti peningkatan ancaman keganasan di rantau ini khusus berhubung Daesh dan kepulangan pejuang daripada Iraq dan Syria.

"Kita juga menyentuh tentang usaha bagi mengawal keselamatan di perairan zon maritim kita terutama di Laut China Selatan," kata Hishammuddin.


Artikel Lain