suria

MPS Perluas Gaya Hidup Sihat Tanpa Kenderaan

RAWANG: Program Pagi Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan tersenarai sebagai acara tahunan susulan sambutan menggalakkan penduduk sekitar kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

Penganjuran program buat kali kedua yang diadakan di Puteri Central Park (PCP), Bandar Tasik Puteri Ahad lalu melibatkan penyertaan lebih 1,200 orang.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap definisi bandar rendah karbon.

“Program ini adalah sebahagian usaha untuk mengurangkan penggunaan kenderaan dan pelepasan asap karbon monoksida yang boleh menyebabkan pencemaran udara, di samping meningkatkan kesedaran mencintai alam sekitar dikalangan masyarakat.

"Ia juga dapat membuka peluang kepada orang ramai untuk kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup yang sihat," katanya ketika melancarkan program itu.

Sementera itu, Pegawai Komunikasi Korporat MPS, Ahmad Fauzi Ishak berkata, tahun lalu, program ini diadakan di Bandar Baru Selayang dan lokasi berbeza akan dipilih setiap tahun.

“MPS akan menukar tempat berlangsungnya program itu supaya penduduk Selayang didedahkan mengenai pengurangan penggunaan kereta atau pelepasan karbon serta tanam gaya hidup sihat,” katanya. 

Antara aktiviti yang diadakan adalah berbasikal sejauh 16 kilometer (km), 4.8 km bagi berjalan kaki, aktiviti papan luncur dan kasut beroda.

Pelepasan program yang diadakan pada 8 pagi ini, disempurnakan oleh Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Mahmood Pa’ Wan Teh. Turut Hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang, YB Gan Pei Nei.


MPS, Rawang, Pagi Tanpa Kenderaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain