suria

Ketua Pemuda Umno Cawangan Batu Lintang Maut Kemalangan

SUNGAI PETANI: Ketua Pemuda Umno cawangan Batu Lintang di sini, maut selepas kereta jenis Perodua Viva dipandunya bertembung dengan sebuah kereta jenis sama yang memasuki laluannya sewaktu cuba memotong, di Kilometer 50 Jalan Alor Setar-Butterworth berhampiran stesen minyak Caltex, Bedong, kira-kira pukul 8.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata Mohd Nizam Walat, 38, yang parah di bahagian dada, disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu sebuah lagi kereta, Siti Shakinah Hashim, 26, yang juga parah di bahagian dada, masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

"Mohd Nizam yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pelabuhan Prai, dalam perjalanan dari arah Butterworth menuju arah Alor Setar, manakala mangsa yang parah datang dari arah bertentangan.

"Kereta dipandu wanita terbabit dikatakan memasuki laluan mangsa sewaktu cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya, walaupun ia kawasan garisan berkembar, namun gagal lalu bertembung dengan kereta dipandu mangsa," katanya kepada Bernama.

Md Zukir berkata mayat dihantar ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Sebelum

Artikel Lain