suria

Anak Kapal Warga Jepun Terjatuh Dikhuatiri Hanyut Ke Perairan Indonesia

MELAKA: Anak kapal MT Doha yang dilaporkan terjatuh daripada kapalnya dua hari lepas dikhuatiri dihayutkan ke perairan Indonesia ekoran keadaan laut di perairan Tanjung Kling yang bergelora dan berangin.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Linggi (DM5), Kapten Maritim Mazlan Mat Rejab berkata bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat warga Jepun berusia 56 tahun itu masih dijalankan dan ia memasuki hari ketiga pada Selasa.

"Kalau tengok keadaan semasa kadar angin yang dianggarkan pada tahap empat dan arah angin yang menuju ke selatan serta keadaan laut yang bergelora, berkemungkinan mangsa melepasi sempadan dan mungkin hanyut lebih jauh lagi.

"Tetapi apa pun kalau mangsa dijumpai pihak berkuasa Indonesia selalunya maklumat akan disalurkan pada pihak konsulat dan kita akan memaklumkan perkara tersebut kemudian," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Turut hadir Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibupejabat Daerah Melaka Tengah Insp Hishamuddin Shah Mohd Idris dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil.

Dua hari lepas media melaporkan seorang anak kapal MT Doha yang dikenali sebagai Atsuhiro Kadana yang merupakan ketua jurutera kapal berkenaan disyaki terjatuh selepas mangsa didapati tidak berada di kapal berkenaan oleh kapten kapal kira-kira 6.58 pagi Ahad.

Mazlan berkata setakat ini tiada petanda atau klu diperoleh bagi membantu menjejaki kedudukan mangsa walaupun sebuah helikopter milik APMM telah digunakan pada hari pertama misi berkenaan.

Beliau berkata mengikut operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, operasi mencari serta menyelamat itu adalah selama tiga hari dan berakhir hari ini, namun ia hanya akan diputuskan ibu pejabat APMM.

"Operasi hari terakhir ini akan ditamatkan kira-kira 6.30 petang namun sebarang arahan lanjut kita akan tunggu daripada ibu pejabat. Kita harapkan ada khabar gembira dalam usaha pencarian dan menyelamat ini," katanya.

Beliau berkata operasi hari ini melibatkan pencarian kira-kira 14.4 kilometer daripada persisiran pantai Tanjung Kling itu disertai 36 anggota termasuk 10 pegawai dari APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Laut dan Angkatan Pertahanan Awam.

Katanya APMM juta telah membuat hebahan pada semua kapal dagang yang menggunakan laluan berkenaan serta komuniti maritim berhampiran mengenai operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Jepun, APMM

Artikel Lain