suria

Kes Hasutan: 435 Kertas Siasatan Dibuka Sejak 2010 - PDRM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 435 kertas siasatan berkaitan kes hasutan yang menyentuh sensitiviti perkauman, agama, institusi diraja dan pentadbiran keadilan negara dibuka sejak 2010 hingga 14 Oktober lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak 55 kes melibatkan isu perkauman, agama (68), institusi diraja (60) dan pentadbiran negara (65).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Datuk Rusdi Ahmad berkata sebanyak 11 lagi kes membabitkan Sabah dan Sarawak keluar Malaysia manakala baki sebanyak 176 kes melibatkan lain-lain kategori.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada forum Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Institut Debat dan Pengucapan Awam Malaysia (MIDP) di Universiti Malaya di sini, Ahad.

Rusdi berkata PDRM juga memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih yang diputarbelitkan oleh segelintir individu melalui media sosial khususnya Facebook dan Whatsapp.

"Penyebaran maklumat palsu berupaya mengganggu gugat ketenteraman awam, mengancam keselamatan dan menjejaskan keharmoniam kaum selain mendatangkan mudarat kepada perpaduan kaum," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan setiap individu supaya tidak melakukan perbuatan yang menjurus kepada menghasut, memfitnah, mengaib atau menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang-bilang kaum dan agama di negara ini.

Menyentuh mengenai jenayah siber yang semakin meningkat di negara ini, Rusdi berkata dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 5,785 kes direkodkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM119.7 juta.

"Dalam sudut ancaman siber, walaupun ia tidak semestinya ganas, namun ia membawa implikasi yang buruk secara meluas dalam masa yang amat singkat. Bagi membendung masalah ini, PDRM sentiasa berkolaborasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya. -Bernama

Kes Hasutan, PDRM, Kertas siasatan

Artikel Lain