suria

Belon Bergas Perlu Dikendalikan Dengan Betul - Bomba

Soiman Jahid

KUALA TERENGGANU: Penggunaan belon pada majlis-majlisrasmi tidak salah sebaliknya, perlu dielak daripada sumber nyalaan api," kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Soiman Jahid.

Katanya tragedi letupan belon seperti yang berlaku di Dataran Batu Buruk pada Jumaat boleh dielak jika dikendalikan dengan betul dan selamat.

Jelasnya kebiasaannya belon yang sering digunakan pada majlis-majlis rasmi diisi dua jenis gas seperti gas helium dan hidrogen dan kedua-dua gas berkenaan boleh meletup apabila mendapat sumber nyalaan api.

"Jika tidak dikendalikan belon itu dengan baik ia boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung yang berada berhampiran belon berkenaan. Seperti insiden yang berlaku di Batu Burok yang dipercayai menggunakan pemetik api bagi memutuskan benang terikat sehingga mencederakan kanak-kanak,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Konvensyen Pasukan Bomba dan Sukarela Peringkat Negeri Terengganu di JBPM Terengganu, Sabtu.

Turut hadir Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor, Komandan Akademi dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Abdul Razak Muda dan Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Sharikan Bustaman. Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi Jumaat belon yang dipercayai berisi gas helium itu meletup yang berpunca daripada tindakan seorang kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu yang cuba memutuskan benang belon dengan menggunakan pemetik api ketika sambutan Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Negeri.

Ekoran daripada itu 31 mangsa mengalami kecederaan yang mana tujuh mangsa yang masih dirawat di HSNZ.

Soiman berkata tindakan menggunakan pemetik api itu tidak sesuai dan merupakan tindakan yang kurang bertanggungjawab oleh pihak yang mengendalikan belon berkenaan.

Katanya, perlu ada kawalan supaya belon itu tidak terdedah kepada letupan, sumber nyalaan api dan sebagainya yang boleh menyebabkan berlakunya letupan besar sehingga mencederakan pengunjung.

"Penganjur perlu peka jika menggunakan belon bergas ini dan jika boleh tempatkan belon itu di kawasan yang jauh daripada pengunjung atau orang ramai supaya tiada kecederaan berlaku," katanya. -Bernama

belon bergas

Artikel Sebelum

Artikel Lain