suria

Viral Detik Cemas Ombak Kuat Badai Pelantar Minyak Ditonton 1.2 Juta Kali

PETALING JAYA: Ramai yang memperkatakan bahawa amat beruntung bekerja di persisiran pantai sama ada menaiki kapal atau bertugas di pelantar minyak kerana dibayar dengan gaji yang lumayan.

Namun hakikatnya, tugas tersebut bukanlah mudah kerana pekerjaan di persisiran pantai melibatkan tahap kecekalan dan ketabahan yang tinggi selain kekuatan mental untuk berdepan pelbagai cabaran di laut.

Terbaharu, seorang staf sebuah syarikat minyak dan gas tempatan berkongsikan rakaman video yang menunjukkan detik-detik cemas staf pelantar minyak berdepan badaian ombak kuat.

Meskipun hanya dirakamkan selama seminit 12 saat, tetapi debaran menyaksikan beberapa staf menempuh detik menakutkan itu ternyata menunjukkan realiti sebenar bekerja di pelantar minyak.

Staf terbabit yang menggunakan akaun Facebook dengan nama Mohd Aizul, menyiarkan video berkenaan sejak 19 Oktober lalu dan telah ditonton sebanyak 1.2 juta kali selain dikongsi sebanyak 7,185 kali.

Video itu menunjukkan kawasan dalam pelantar minyak dibadai ombak kuat sehingga menyebabkan banyak barang dihanyutkan arus laut.

Malah kedengaran seorang staf melaungkan "Allahuakbar" beberapa kali bagi mententeramkan diri ketika berdepan situasi cemas itu.

Ternyata video berkenaan mengundang rasa takut segelintir netizen untuk menceburi bidang tersebut tetapi Mohd Aizul tampil dengan kenyataan baharu pada Jumaat bagi menjelaskan cabaran yang dialami oleh pekerja pelantar minyak.

Dalam kenyataan tersebut, Mohd Aizul turut memberi nasihat bagi sesiapa yang ingin bekerja di pelantar minyak supaya menguatkan tahap fizikal dan mental.

Malah katanya, ada pekerja yang hanya boleh bertahan selama sehari kerana tidak tahan panas, mabuk laut, penat dan lain-lain.

"Saya tiada niat memuat naik video berkenaan dengan tujuan menghalang orang lain bekerja di pelantar minyak.

"Saya juga memohon maaf jika video itu membuatkan ramai orang berasa takut atau risau," katanya.




Artikel Lain