suria

Polis Akan Pertingkat Kawalan Di Perairan Timur Sabah - KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (dua, kanan) menyampaikan hadiah kepada Graduan Pertama Terbaik Program Diploma Eksekutif Sains Siasatan kepada ASP Norliza Mohamad di Maktab Polis Diraja Malaysia, Jumaat. Seramai 45 anggota keselamatan menamatkan pengajian Diploma Eksekutif Sains Siasatan yang pertama kali diperkenalkan. Turut kelihatan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri).

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan pertingkatkan lagi kawalan keselamatan dengan melaksanakan operasi berterusan di perairan Timur Sabah bagi menggelakkan sebarang insiden pencerobohan berlaku.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ini susulan tindakan pihak berkuasa Filipina yang sedang giat melancarkan serbuan di kawasan tumpuan militan di negara itu.

"Operasi di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) memang diteruskan kerana kita bimbang dengan tindakan pihak berkuasa Filipina ini kemungkinan anggota militan ini bertindak melarikan diri ke negara kita.

"Justeru itu, kita akan pertingkatkan lagi kawalan keselamatan bagi mengelakkan mereka bolos ke negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Diploma Eksekutif Sains Siasatan sesi 2015/2016 di Maktab PDRM di sini, Jumaat.

Menurutnya, operasi Esscom itu turut menyasarkan untuk menangkap individu yang menjadi dalang dalam kumpulan militan terbabit. 

"Operasi dan tindakan ini dilaksanakan setiap hari bagi mengesan mereka yang menjadi dalang terhadap kumpulan (militan) berkenaan dan tangkapan terus akan dilakukan terhadap dalang ini," katanya.

Pada 7 Oktober lepas, polis menahan 10 individu yang disyaki menjadi dalang dalam pembocoran maklumat berhubung operasi pasukan keselamatan di perairan Sabah.

Mereka yang ditangkap terdiri daripada penduduk tempatan dan juga pendatang dari selatan Filipina dan ada di antaranya dipercayai merupakan anggota kumpulan militan Abu Sayyaf.-- Bernama



KPN, Sabah, Esscom

Artikel Lain