suria

Sokong MP Menentang Jenayah Seksual Kanak-Kanak

PETALING JAYA: R.AGE Predator in My Phone (PMP) akan melancarkan fasa kedua kempen undang-undang anti asuhan (grooming) seksual kanak-kanak.

Kempen terbaru bertajuk MPs Against Predators (MP Menentang Pemangsa Seksual Kanak-kanak) akan dilancarkan Jumaat ini 14 Oktober pada pukul 4.45 petang. Ikuti livestream pelancaran kempen ini di laman Facebook Predator in My Phone.

Lisa Surihani merupakan duta kempen MPs Against Predators dan akan berada di pelancaran kempen pada hari esok.

Beliau akan berkongsi pengalamannya menemu bual seorang mangsa grooming berumur 14 tahun yang berakhir dengan kes mengandung luar nikah.

Antara aktivis dan selebriti lain yang akan sertai pelancaran ini adalah Marina Mahathir, Syed Azmi, Jin Lim (JinnyboyTV) dan Marianne Tan.

Kempen ini diadakan selaras dengan usaha pasukan khas menentang jenayah seksual kanak-kanak yang ditubuhkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibawah pimpinan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Melalui kempen ini, R.AGE akan menyediakan sebuah platform di mana orang awam disarankan melobi wakil MP mereka supaya menyokong akta terbaru yang dicadangkan oleh pasukan khas tersebut.

Akta baru ini sangat menyeluruh dan akan memantapkan lagi perlindungan kanak-kanak di Malaysia. Akta yang bakal dihujahkan di Parlimen mulai Isnin depan ini dinamakan Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak.

Antara cadangan terbaru jenayah seksual kanak-kanak di bawah akta ini adalah seperti pornografi kanak-kanak, pelacuran kanak-kanak dan asuhan (grooming) seksual kanak-kanak.

Antara wakil-wakil dalam pasukan khas tersebut adalah daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Peguam dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.



Wartawan-wartawan R.AGE telah menyamar sebagai kanak-kanak bawah umur di aplikasi chat di smartphone (WeChat, BeeTalk, Facebook Messenger).

Ia telah menjadi aplikasi yang popular di kalangan pemangsa seksual kanak-kanak di Malaysia.

Statistik dari Bukit Aman menunjukkan bahawa selama dua tahun yang lepas, 80% kes rogol yang dilaporkan kepada polis bermula menerusi dalam talian.

Dan jenayah ini bermula dengan proses asuhan.

Asuhan merupakan proses yang menyaksikan seorang pemangsa berkawan dengan kanak-kanak di bawah umur dan mengasuh mangsa untuk dieksploit secara seksual.

Namun begitu, menurut undang-undang Malaysia, kelakuan mengasuh ini tidak menyalahi undang-undang. Selagi mangsa tidak didera secara seksual atau fizikal, pihak polis tidak boleh menahan mereka.

Undang-undang yang menangani masalah asuhan seksual telah pun digubal di negara-negara seperti Singapura, Britain, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.

Walaupun unit Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) dibawah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM telah merekodkan sebanyak 300% kadar peningkatan kes rogol yang dimulakan menerusi dalam talian di antara tahun 2010 hingga 2015, namun kadar sabitan hanyalah sekitar 5% sahaja.

Oleh hal yang demikian, Malaysia memerlukan akta yang khusus untuk menangani isu ini.

Berikan sokongan anda kepada kempen MPs Against Predators dan lobi MP anda untuk luluskan Child Sexual Crimes Act di Parlimen. Bersama kita berusaha untuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual online. Untuk maklumat lebih lanjut, layari predator.my. 

R.AGE, PMP, Predator in My Phone

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain