suria

Ops Water: Saksi Pulangkan RM1 Juta Semasa Beri Keterangan

PETALING JAYA: Mengejutkan apabila wang rasuah kira-kira RM1 juta dipulangkan beberapa saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes salah guna dana projek infrastruktur di Sabah.

Sumber memberitahu, tiga saksi telah memulangkan wang berkenaan semasa keterangan diambil dalam siasatan membabitkan pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah.

"SPRM hari ini telah merampas wang tunai bernilai kira-kira RM1 juta daripada beberapa saksi yang dipanggil untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes ‘Ops Water’.

“Kesemua mereka memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam mengendalikan siasatan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun menurut sumber, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

“SPRM dijangka memanggil lebih ramai lagi saksi untuk diambil keterangan berhubung siasatan ini,” jelas sumber itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, perintah reman terhadap Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Tahir Ag Talip dilanjutkan sehingga Sabtu ini.

Manakala tempoh reman Timbalannya, Teo Chee Kong dilanjutkan sehingga Isnin depan.

Perintah reman untuk adik Teo dan akauntannya pula turut dilanjutkan Isnin depan.

Kesemua suspek ditahan pada Selasa minggu lalu selepas sejumlah wang bernilai RM3.3 juta ditemui di salah sebuah pejabat pegawai tersebut manakala lebih banyak wang tunai, barang kemas, geran tanah, kenderaan mewah dan beg tangan bernilai lebih RM150 juta dirampas dari Ag Tahir dan Teo.

Ag Tahir dan Teo disyaki memberikan kontrak kepada beberapa syarikat yang dimiliki adik-beradik mereka, menyebabkan kontraktor lain tidak mendapat projek air di Sabah bernilai RM3.3 bilion dari kerajaan Persekutuan.

Ops Water, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain