suria

Bekas Wartawan Dipilih Jadi Datuk Bandar Kapiti Coast

K Gurunathan.

KUALA LUMPUR: Anak jati Pulau Pinang, K Gurunathan dipilih sebagai Datuk Bandar Daerah Kapiti Coast di Wellington, New Zealand selepas menewaskan lima lagi calon lain termasuk penyandangnya.

Lebih dimesra disapa sebagai Guru, beliau menewaskan penyandang jawatan itu selama satu penggal, Ross Church apabila meraih 8,911 undi dengan menang majoriti 2,300 undi.

Dengan kemenangan itu Guru akan berkhidmat bermula tahun ini sehingga 2019.

Church sekadar memperolehi 6,611 undi yang disifatkan media tempatan sebagai keputusan mengejut.

Guru yang tewas kepada Church pada pemilihan tahun 2013 disifatkan sebagai Datuk Bandar 'etnik' pertama Kapiti.

Lelaki berusia 63 tahun itu mempunyai sejarah unik bersama media Malaysia.

Beliau memulakan karier sebagai Ketua Wartawan pada 1983 di The National Echo.

Beliau kemudiannya menjadi penyunting berita di The Rocket sebelum berkhidmat sebagai pengulas politik di akhbar New Straits Times.

Guru pernah bertugas sebagai Editor Artikel Khas bersama The Sun sebelum berhijrah ke Wellington bersama isterinya warga New Zealand, Claire dan dua anaknya pada 1995.

Beliau dikurniakan tiga anak iaitu, Jessie Gayathri, 33, Ravi, 29, and Ari, 19.

"Mesej utama dalam kempen saya adalah untuk menjadikan Kapiti sebagai sebuah daerah yang terbuka, telus dan bertanggungjawab. Sebagai seorang migran dan dari masyarakat minoriti bukan satu isu, walaupun sebahagian daripada mereka mengundi saya berkata saya tidak boleh menang jawatan itu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain