suria

Pengayuh Beca Di Bandar Hilir Bantah Cadangan Wujud Khidmat Beca Elektrik

Pengayuh beca tradisional di sekitar Bandar Hilir berhimpun pada Isnin, bagi membantah terhadap khabar angin kerajaan negeri Melaka akan mewujudkan beca elektrik di negeri itu. Foto Bernama

MELAKA: Ramai pengayuh beca di negeri ini terutama yang beroperasi di sekitar tapak warisan Unesco, Bandar Hilir di sini, membantah cadangan sebuah syarikat yang mahu memperkenalkan perkhidmatan beca elektrik di kawasan berkenaan.

Beberapa pengayuh beca yang ditemu bual Bernama berpendapat inisiatif itu boleh menghakis penggunaan beca tradisional Melaka yang menjadi antara tarikan pelancong di kawasan itu, selain boleh menjejaskan mata pencarian mereka.

Abu Mohd, 72, yang telah berkhidmat sebagai pengayuh beca selama 51 tahun berkata, tiada keperluan untuk mewujudkan beca elektrik di kawasan tarikan pelancongan itu sebaliknya beca tradisional perlu dikekalkan selaras dengan identiti Melaka sebagai negeri warisan dan pelancongan tersohor.

"Saya tidak setuju dengan inisiatif yang kami tahu melalui media sosial, malah kami diberitahu ada temu duga untuk penarik beca elektrik yang akan diadakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC Jalan Hang Tuah di sini) pada 12 Oktober ini.

"Perkara ini amat memeranjatkan kami kerana setelah sekian lama kami pengayuh beca sedia ada ini berusaha mengekalkan warisan tradisonal ini untuk generasi muda merasa menaiki beca yang dikayuh sambil mengelilingi kawasan pelancongan di Bandar Hilir," katanya.

Pada Ahad, lebih 50 pengayuh beca pelbagai lapisan umur yang menjadikan beca tradisional Melaka sebagai sumber pendapatan utama mereka membuat bantahan berhubung inisiatif itu di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir.

Abu berkata, walaupan kerja sebagai pengayuh beca tidak menjadikan beliau kaya namun pekerjaan itu halal dan secara tidak langsung mereka membantu mempromosikan Melaka kepada pelancong yang menaiki beca mereka.

"Kami bantah kemasukan beca elektrik di kawasan Bandar Hilir ini demi anak bangsa dan generasi muda sekarang yang dilihat semakin ramai memilih untuk menjadi pengayuh beca walaupun pendapatan tidak lumayan mana," katanya yang menetap di Kampung Lapan di sini.

Bagi seorang lagi pengayuh beca Amran Hashim, 44, yang berasal dari Bukit Rambai di sini pula berkata, tindakan mewujudkan beca elektrik di kawasan itu akan terus menjejaskan pendapatan pengayuh beca tradisional sekali gus akan membunuh industri beca tradisional di negeri ini.

"Ini bukan kali pertama pekerjaan kami sebagai pengayuh beca tradisional di sini diganggu kerana sekarang pun kami terpaksa bersaing dengan perkhidmatan kereta kuda dan basikal elektrik yang juga diwujudkan kerajaan negeri, katanya yang telah enam tahun menjadikan kerja penarik beca sebagai sumber pendapatan tetap.

Amran berkata, disebabkan kewujudan produk pelancongan lain itu, pendapatan penarik beca tradisional terjejas dan mereka perlu bekerja lebih masa serta bersaing dengan perkhidmatan kereta kuda dan basikal elektrik di kawasan tumpuan pelancong berkenaan.

Mohamad Saleh Abu, 71, yang berasal dari Pengkalan Rama Pantai di sini pula berkata, kerajaan negeri sepatutnya memikirkan usaha lain bagi membantu penarik beca tradisional meningkatkan pendapatan mereka dan bukannya dengan memperkenalkan produk baharu yang boleh menggugat pendapatan golongan berkenaan.

"Kami pengayuh beca di kawasan ini merayu kerajaan negeri agar tidak mewujudkan perkhidmatan beca elektrik di kawasan ini dan bantulah kami serta dengarlah masalah yang kami hadapi ini," katanya yang telah mengayuh beca selama 48 tahun.

Berdasarkan carian di internet sebuah syarikat yang beralamat di Seremban, Negeri Sembilan telah mula mengiklankan jawatan kosong sebagai pemandu beca elektrik di kawasan Bandar Hilir di sini.

Carian ke atas laman web syarikat itu mendapati syarikat tersebut bakal memperkenalkan sebuah kenderaan roda tiga yang mempunyai fungsi yang sama seperti beca, menggunakan teknologi hijau dan mampu bergerak sehingga 25 kmsj. - Bernama

Artikel Lain