suria

Frim Kini Boleh Cari Pembiayaan Sendiri - Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) kini boleh mendapatkan pembiayaan sendiri susulan Akta Frim 2016 yang diwartakan pada 30 September lalu telah berkuat kuasa sejak 1 Oktober.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, akta itu membolehkan Frim mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan yang dilakukannya.

Selain itu kata Wan Junaidi, ia juga membolehkan Frim menubuhkan syarikat bagi menjana pendapatan sendiri yang bertujuan untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan dan aktiviti penyelidikan, pembangunan serta komersialisasi institusi itu.

"Usaha pengkomersialan tersebut dijangka dapat membantu Frim mengurangkan kebergantungannya kepada dana kerajaan serta mencapai 'self-sufficiency' dalam tempoh lima tahun," katanya pada majlis pelancaran Akta Frim 2016 di sini.

Pada majlis itu juga, Wan Junaidi menyaksikan penyerahan tiga sijil Malaysia Book of Records iaitu hutan buatan manusia terbesar ditubuhkan di kawasan bekas lombong bijih timah, pokok hutan tertinggi yang ditanam manusia dan formulasi biodiesel pertama untuk pengwasapan (fogging) nyamuk Aedes kepada Ketua Pengarah Frim, Datuk Dr Abd Latif Mohmod.

Terdahulu, beliau melepaskan hampir 1,400 peserta Rimbathon 2016 anjuran Kelab Frim serta Pejabat Belia dan Sukan daerah Gombak sempena Hari Sukan Negara yang disertai pelajar sekolah selain orang awam serta kakitangan Frim.

Frim, Akta Frim 2016

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain