suria

Geran Tanah Perumahan, Pertanian, Komersial Antara Dirampas - SPRM

PETALING JAYA: Geran tanah perumahan, pertanian dan komersial di beberapa lokasi di Sabah merupakan geran tanah yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dikaitkan dengan kes salah guna projek infrastruktur di negeri itu.

Sebelum ini dilaporkan 127 geran tanah ditemui di rumah timbalan pengarah agensi kerajaan negeri terbabit.

Sumber memberitahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka  memanggil pegawai daripada Jabatan Tanah dan Ukur negeri untuk menilai harga geran tanah yang dirampas, pada Isnin.

Setakat ini, SPRM telah mengambil keterangan 23 individu dengan salah seorang daripada mereka adalah adik kepada pengarah jabatan itu bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa dalam projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.

Menurut sumber, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini kerana SPRM masih dalam proses mengumpul lebih banyak maklumat sebelum tindakan lanjut.

Pada Jumaat, dilaporkan rampasan pelbagai barang kemas milik dua suspek pengarah dan timbalan pengarah mencecah RM3.64 juta, manakala lapan kereta mewah yang dirampas dianggarkan RM2.7 juta.

“Kereta yang yang dirampas daripada pengarah dibeli menggunakan atas nama syarikat adiknya,” ujar sumber.

Pada Rabu lalu, dilaporkan jumlah wang tunai yang dirampas susulan penahanan dua pegawai kanan itu meningkat kepada RM52 juta, selain RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan.

Selain wang tunai dan kereta mewah, barang kemas dan jam mewah, turut dirampas adalah 94 beg tangan pelbagai jenama milik isteri kepada salah seorang suspek bernilai kira-kira RM500,000.

Menurut sumber lagi, siasatan turut mendapati timbalan pengarah membeli sebuah rumah di luar negara. 

“SPRM juga sedang menyiasat sebuah syarikat yang menguruskan pengaliran wang milik timbalan pengarah.

“Kedua-dua suspek juga dijangka membantu SPRM dalam proses memindahkan duit yang disimpan di beberapa bank di luar negara ke akaun mereka di Malaysia dalam masa terdekat melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA),” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain