suria

Rakyat Diminta Tidak Terpengaruh Dengan Himpunan Bersih

LARUT: Rakyat di negara ini diminta berfikiran terbuka dan tidak terpengaruh dengan hasutan untuk menyertai perhimpunan Bersih 5 yang dirancang diadakan pada Sabtu, serentak dengan Hari Sukan Negara.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan kumpulan itu lebih kepada menghasut serta boleh menjejaskan keamanan negara.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menarik perhatian apabila berkata walaupun menggunakan nama 'Bersih' tetapi kumpulan itu tidak mempunyai jiwa yang bersih kerana secara sengaja mahu menjejaskan sambutan Hari Sukan Negara.

"Tindakan mereka (Bersih 5) itu bertujuan merosakkan program yang kerajaan buat untuk kepentingan rakyat yang menyertai Hari Sukan Negara di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Santai Mesra di Batu Kurau dekat sini, Jumaat.

Pada majlis itu, Hamzah turut menganjurkan program tuisyen kepada 240 pelajar membabitkan lapan sekolah dalam Parlimen Larut yang akan menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut berkata, program yang bermula sejak Mei lalu dan berakhir hari ini, bertujuan meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan dengan dibimbing oleh guru pakar dalam bidang masing-masing.

"Kita memberi tumpuan tiga mata pelajaran iaitu Sejarah, Matematik dan Bahasa Inggeris bagi SPM manakala Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains bagi PT3," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Ziyad Akui Hampir Putus Asa

Artikel Berikut

Saya Tidak Takut - Dr Fauziah

Artikel Lain