suria

IUKL Tidak Pernah Beri Anugerah Ijazah Sarjana, PHD Kepada Azizan

KUALA LUMPUR: Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) menjelaskan universiti itu tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kepada pengasas syarikat Richworks International Sdn Bhd Azizan Osman.

 "IUKL ingin mengesahkan bahawa Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan PhD tidak dianugerahkan kepada Encik Azizan Osman seperti yang didakwa di media sosial," menurut universiti itu dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

Menurut kenyataan itu adalah diharap kenyataan tersebut menyelesaikan kekeliruan berikutan dakwaan itu.

Pada Khamis, Universiti Malaya (UM) turut memaklumkan tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Azizan.   

UM dalam kenyataan semalam memberi penjelasan berhubung status gelaran berkenaan yang didakwa dianugerahkan oleh universiti berkenaan kepada Azizan sepertimana dibangkitkan dalam laman media sosial.

Richworks, yang ditubuhkan pada 2008, merupakan sebuah syarikat penganjuran seminar berkaitan pembangunan kemuncak prestasi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta pembelian barangan dalam talian.   

Sementara itu, Richworks dalam kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi Azizan, berkata syarikat itu kesal atas kesulitan tersebut dan akan menangani perkara itu sebaik mungkin.   

Azizan juga adalah pengasas, pengerusi eksekutif dan pengarah urusan kumpulan syarikat Richworks. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain