suria

"Tak Putus Asa Cari Norshakinah" - Bapa

Norshakinah dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

SUNGAI PETANI: Ibu bapa Norshakinah Naim yang hilang di Rouen, kira-kira 140 kilometer (km) dari Paris pada sambutan hari lahirnya enam hari lalu akan berlepas ke Perancis untuk membantu operasi mencari anak perempuannya itu.

Bapa pelajar berusia 19 tahun itu, Naim Awang, 46, berkata mereka akan membawa Nurshakinah pulang ke tanah air sebaik sahaja dia ditemui supaya dia boleh menyambung pengajiannya di dalam negara.

Beliau percaya anak perempuannya itu tidak selesa belajar di Perancis kerana dia berdepan beberapa masalah dalam menguasai bahasa tersebut sebaik tiba di sana.

Kedutaan Malaysia dimaklumkan mengenai berita kehilangan Nurshakinah oleh rakan sebiliknya yang menyedari dia hilang selepas telefon bimbitnya dijumpai di bilik sewa kediaman mereka sejak Jumaat.

Naim berkata Kedutaan Malaysia menghubunginya pada Isnin dan memaklumkan anak perempuannya tidak pulang ke rumah sewa sejak beberapa hari.

Norshakinah, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu mengikuti pengajian Kejuruteraan Kimia di Institute University of Technology (IUT) Roanne di Paris sejak tahun lalu.

Naim berkata kali terakhir Norshakinah berhubung dengan keluarganya adalah pada hari lahirnya dan berbual dengan ibunya, Nor Halizah Ahmad.

Katanya, dia berbual seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

"Malah dia kedengaran ceria dan tidak kelihatan mempunyai masalah. Dia adalah anak yang baik dan cemerlang dalam pelajaran," katanya.

Naim berkata mereka sekeluarga cuba menghubungi Norshakinah pada Sabtu tetapi telefon bimbitnya tidak dijawab rakan sebiliknya yang memaklumkan dia tidak pulang ke rumah sewa.

"Sebagai bapa, saya perlu mencarinya.

"Saya dan isteri akan berlepas ke Paris pada Sabtu. Kami amat berterima kasih kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad yang menaja tiket penerbangan kami," katanya yang bekerja sebagai petani di Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat sini, Rabu.

Naim berkata Norshakinah pulang ke tanah air dari Paris bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga pada Julai lalu dan bergembira bersama-sama keluarga.

"Norshakinah ada beritahu kami bahawa dia okay di sana, tidak seperti kali pertama dia tiba di Paris," kata bapa enam anak itu.

Anak kedua daripada enam beradik itu yang merupakan lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula, Tikam Batu memperoleh 10A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2014.


Artikel Berikut

Artikel Lain