suria

Polis Hatyai Bongkar Kegiatan Proses Arak Tiruan, Warga Malaysia Ditahan

HATYAI: Polis Hatyai menyerbu sebuah bangunan dan menahan seorang warga Malaysia yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses arak tiruan.

Ketua Polis Pencegahan Bahagian Ke-6 Hatyai, Kol. Sompong Suwannawong berkata pihaknya menahan lelaki berumur 33 tahun tersebut dari Ipoh, Perak pada pukul 4.30 petang (waktu tempatan) semalam.

"Bagaimanapun dalam serbuan yang sama terhadap bangunan sewa itu di Lorong Rachadamrit, Pekan Haytai, bapanya yang dikenali dengan nama 'David' berjaya meloloskan diri," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, bangunan itu telah disewa sejak lapan tahun lepas dan digunakan untuk memproses arak tiruan menggunakan jenama 'Black Label' yang amat popular dalam kalangan pelanggan.

Sompong berkata lelaki tersebut pernah ditangkap oleh polis Thai sebelum ini atas kesalahan yang sama dan disenarai hitam oleh pihak berkuasa negara ini.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut sementara usaha memburu bapanya  telah dilancarkan, katanya.-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain