suria

PM: Tidak Perlu Pilihan Raya Awal

Datuk Seri Najib Razak berjabat tangan dengan Canselor Jerman, Angela Merkel selepas mengadakan sidang media bersama di Berlin pada 27 September 2016. - BERNAMA

BERLIN: Tiada perancangan untuk mengadakan pilihan raya umum dengan lebih awal sehingga tarikh akhir pada 2018, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menjelaskan, sebarang keputusan untuk mengadakan pilihan raya sepatutnya tidak dibuat berdasarkan sebarang faktor tertentu.

"Kerajaan menyandarkan pada rekod. Kita mempunyai rekod yang baik dan akan terus memaklumkan kepada rakyat bahawa kerajaan kita (Barisan Nasional) masih merupakan pilihan terbaik," kata Najib kepada pemberita di sini selepas mengadakan pertemuan dengan Canselor Jerman, Angela Merkel.

Kali terakhir pilihan raya umum diadakan pada 5 Mei 2013.

Mengulas tentang kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Najib berkata, Malaysia akan memberi kerjasama dengan Amerika Syarikat dann pihak berkuasa antarabangsa yang lain berhubung siasatan kes itu.

"Kerajaan turut sama-sama mengambil berat tentang hal berkaitan imej baik pentadbiran Malaysia dan hal ehwal perundangan.

"Jadi atas kedua-dua sebab itu, Malaysia akan memberi kerjasama yang terbaik selagi diperlukan," ujarnya. - REUTERS


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain