suria

Asingkan Program Kewartawanan Daripada Fakulti Komunikasi Dan Media

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya (kiri) memberi penerangan kepada tetamu dan anggota panel yang melawat pameran gambar MPI sempena ulangtahun ke-50 pada Majlis Forum Media Kebangsaan 2016 pada Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Program kewartawanan perlu diasingkan daripada fakulti komunikasi dan pengajian media agar pengajaran dan pembelajaran program berkenaan lebih khusus, kata Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican pada Rabu.

Ahli akademik di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa di Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata cadangan tersebut bagi memenuhi keperluan silibus program itu yang semakin meluas selaras dengan perubahan teknologi.

"Program-program kewartawanan boleh diletakkan di bawah fakulti sains sosial dan kemanusiaan ataupun dijadikan sebuah pusat pengajian kewartawanan yang tidak terikat dengan mana-mana fakulti.

"Selain itu, para penuntut dan tenaga pengajar juga tidak perlu berebut menggunakan peralatan-peralatan berkaitan kewartawanan," katanya kepada wartawan selepas tamat Forum Media Kebangsaan 2016 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini.

Beliau juga mencadangkan penubuhan pusat pengajian siswazah, menyifatkannya amat penting bagi mempertingkatkan keupayaan kerjaya wartawan.

Dalam pada itu, Ahmad Murad juga menyarankan penubuhan bilik berita yang beroperasi 24 jam di fakulti kewartawanan bagimelatih pelajar untuk berdepan dengan dunia kewartawanan sebenar.

Jelasnya, bilik berita tersebut mestilah dikendalikan oleh sekurang-kurangnya seorang editor berita daripada industri selain dibantu oleh pensyarah akademik.

"Editor ini perlu bekerja sepenuh masa membantu pelajar untuk 'bekerja' di bilik berita seakan mengendalikan sebuah syarikat akhbar ataupun portal.

"Bilik berita ini perlu berfungsi di mana pelajar akan diberi tugasan sebenar dan mereka diajar untuk bertanggungjawab ke atas setiap penulisan yang dibuat," katanya.

Tambahnya pengendalian bilik berita itu perlu didedahkan kepada pelajar bermula dari tahun pertama pengajian sebagai persiapan sebelum mereka menjalani latihan industri di mana-mana pertubuhan media.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain