suria

Sistem Periksa, Imbang Perkhidmatan Awam Elak Penyelewengan, Salah Guna Kuasa

Ali Hamsa.

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa mengingatkan supaya sistem periksa dan imbang serta pemantauan hendaklah sentiasa dilaksanakan di dalam perkhidmatan awam, khususnya di bahagian yang mempunyai risiko berlakunya penyelewangan dan penyalahgunaan kuasa.

Belia berkata pemeriksaan audit secara mengejut juga perlu dilaksanakan agar pembaziran dan pemborosan dana awam dapat dibendung demi memelihara imej baik perkhidmatan awam.

Di samping itu, katanya usaha-usaha pengukuhan jati diri, pemantapan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan dalam kalangan penjawat awam  perlu dilaksanakan secara berterusan.

"Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ini, pengurusan kewangan awam secara bersepadu dan terkawal amatlah penting agar pembangunan negara dapat dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan.

"Oleh itu, setiap pegawai perlu memantau pengurusan kewangan organisasi masing-masing agar sentiasa dikendalikan dengan teratur, cekap dan berkesan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun Kewangan 2015 di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Ali menegaskan perbelanjaan berhemah perlu dijadikan amalan dan budaya di dalam perkhidmatan awam memandangkan ketidaktentuan harga komoditi terutamanya minyak, kelapa sawit dan getah serta penyusutan nilai matawang ringgit.

"Dengan itu, prinsip Value For Money (Nilai Untuk Wang) perlu diterapkan agar perbelanjaan yang dilakukan memberi hasil optimum bersesuaian dengan jumlah wang yang dibelanjakan," katanya.

Selain itu, katanya pendekatan Value Management(Pengurusan Nilai) perlu ditekankan kerana melalui penjimatan yang dihasilkan serta pengurusan kewangan yang cekap, lebih banyak projek dapat dilaksanakan untuk memanfaatkan rakyat.

Mengenai Anugerah Kecemerlangan itu, Ali berkata prestasi peringkat Kementerian menurun sedikit akibat penarafan cemerlang daripada empat kepada lima bintang oleh Jabatan Audit Negara mulai tahun kewangan 2015.

Beliau berkata hanya 16 kementerian atau 64 peratus daripada 24 kementerian yang memperoleh penarafan cemerlang berbanding 20 kementerian (83 peratus) pada 2014.

Di peringkat Jabatan atau Agensi pula, Ali berkata sebanyak 55 peratus memperoleh penarafan lima bintang manakala satu Badan Berkanun Persekutuan sahaja yang mendapat penarafan cemerlang, katanya.

"Oleh itu, Kementerian,Jabatan dan Agensi masing-masing wajar mempertingkat pengurusan kewangan masing-masing agar mencapai penarafan lima bintang pada masa hadapan," katanya.

Pada majlis sama, Ali menyerahkan 130,000 bahan bacaan kepda 184 institusi dan agensi dalam Program 'Take A Break....Read!@Putrajaya 2016: A Book Alive (TABR #abookalive) di sini.

Bahan bacaan itu diterima daripada kempen anjuran bersama Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri, yang disumbang oleh penjawat awam, kementerian, jabatan, agensi kerajaan, individu serta syarikat penerbitan.

Program itu bertujuan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dan sikap prihatin penjawat awam menyumbang bahan bacaan kepada pihak yang memerlukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain