suria

Kuari: Penduduk Dalam Bahaya

NIBONG TEBAL: Kerajaan Pulau Pinang berhadapan tekanan kerana gagal bertindak terhadap aktiviti kuari yang berleluasa di Batu Kawan hingga memberi kesan kesihatan kepada kira-kira 20,000 penduduk berdekatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Abdul Halim Othman berkata penduduk berhadapan aktiviti letupan dan pencemaran sejak kuari Batu Musang mula beroperasi lebih daripada 10 tahun yang lalu.

"Selepas letupan pada Jumaat lepas, ramai penduduk mengadu kepada saya lagi. Keselamatan mereka semakin berisiko kerana struktur rumah telah rosak.

"Habuk daripada kuari menyebabkan masalah pernafasan penduduk kampung di Kampung Masjid dan Kampung Pengkalan manakala jalan-jalan berlubang kerana dilalui kenderaan berat setiap hari," katanya.



Beliau berkata pelajar di tiga buah sekolah berdekatan - SMK Batu Kawan, SK Batu Kawan dan SJKT Batu Kawan juga dalam bahaya.

Ketika dihubungi, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasturi Patto mengesahkan bahawa kuari itu dimiliki oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan dipajak kepada operator.

"Kami sedang menyiasat. Saya akan bertemu dengan pengusaha kuari dan penduduk terjejas tidak lama lagi untuk membincangkan isu itu," katanya, sambil menambah bahawa terdapat tiga kuari di kawasan itu.

Lokasi kuari lain ialah di Taman Merpati dan Kampung Masjid.

Sementara itu Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), S.M. Mohamed Idris menggesa kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Selatan, Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Mineral dan GeoSains supaya mendedahkan hasil siasatan mereka kepada umum mengenai aktiviti kuari di kawasan itu.

"Kami bimbang bahawa jika perkara itu tidak ditangani dengan cara yang betul, keselamatan penduduk akan terancam dan aktiviti di kuari itu memberi kesan terhadap alam sekitar.

"Kami menggesa supaya permit kuari itu digantung serta-merta dan tidak diperbaharui akibat kebimbangan yang semakin meningkat daripada orang ramai," kata beliau.

Kuari, Batu KAwan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain