suria

PTPTN Sentiasa Buka Ruang Rundingan Kepada Semua Peminjam

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa membuka ruang rundingan kepada semua peminjamnya yang mempunyai masalah membuat pembayaran.

PTPTN dalam kenyataannya pada Isnin berkata tindakan yang diambil terhadap peminjam bukan bertujuan menekan mereka tetapi demi kepentingan pendidikan negara dalam menyediakan dana secukupnya untuk pelajar lain.

Organisasi itu berkata sebarang tindakan yang diambilnya mengambil kira semua aspek dan tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya kerana ia sentiasa berpegang kepada konsep mesra pelanggan dan mempelbagaikan pendekatan dalam mencapai sasaran kutipan balik pinjaman.

Pendekatan itu antara lainnya bertujuan meringankan beban peminjam termasuk dengan mengadakan rundingan bagi penstrukturan semula pinjaman, membuka pejabat PTPTN negeri dan cawangan, menjalankan operasi pada hujung minggu dan selepas waktu pejabat bagi sesetengah cawangan, serta menyediakan perkhidmatan pembayaran semula dalam talian.

Menurut PTPTN tindakan lain yang diambilnya adalah selaras dengan perjanjian yang ditandatangani PTPTN dengan peminjam, yang sedia maklum tentang perkara itu.

"Dalam keadaan ini, apa juga langkah yang telah diambil oleh PTPTN termasuk penyenaraian peminjam di dalam Pusat Rujukan Kredit dan Sistem Maklumat (CCRIS) akan diteruskan," kata PTPTN.

PTPTN mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh semalam yang mengingatkan organisasi itu agar tidak menganiayai mana-mana peminjam dalam usaha mengutip semula tunggakan pinjaman daripada peminjam.

Dalam pada itu, PTPTN menyatakan bahawa ramai peminjam mula membuat bayaran balik pinjaman berdasarkan kadar peminjam yang tampil membuat rundingan dan jumlah bayaran balik berbanding sebelum ini. - BERNAMA

PTPTN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain