suria

Pakatan Harapan P.P Mesyuarat Bantah Cadangan Persempadanan SPR

BUTTERWORTH: Pakatan Harapan Pulau Pinang akan bermesyuarat hari ini bagi mendapat satu pendirian bersama dalam membantah cadangan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata mesyuarat itu akan dihadiri kesemua pemimpin Pakatan Harapan supaya satu pendirian bersama dapat dicapai mengenai bantahan terhadap proses persempadanan semula SPR.

"Kami akan bermesyuarat dalam peringkat negeri untuk mendapat satu pendirian bersama dalam bantahan terhadap persempadanan semula itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sains Corner di Perpustakaan Awam Pulau Pinang di sini Ahad.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan di mana mesyuarat negeri itu akan diadakan dan siapa yang dijangka hadir.

Beliau berkata perbincangan di peringkat pusat yang akan dibuat melalui Majlis Presiden Pakatan Harapan itu, masih belum ditetapkan.

"Saya masih belum dapat apa-apa makluman tentang perbincangan di peringkat pusat dan pengumuman mengenainya akan dibuat kelak," katanya.

Sementara itu, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata mengikut saluran undang-undang, bantahan berhubung proses persempadanan semula itu boleh dibuat melalui kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan sebagai wakil rakyat.

"Bantahan juga boleh dibuat dengan mengumpulkan seratus pengundi berdaftar kerana perkara ini jelas akan menghakiskan prinsip demokrasi," katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan negeri juga akan membawa perkara ini ke mahkamah kerana cadangan persempadanan semula itu akan menjejaskan pengundi di beberapa kerusi DUN di Pulau Pinang.

Minggu lepas, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Semua pihak diberi masa sebulan sehingga 14 Okt untuk mengemukakan bantahan masing-masing.-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain