suria

Gabungan NGO Minta Penganjur Bersih Didakwa

KUALA LUMPUR: Gabungan Badan Bukan Kerajaan Malaysia (Gerhana) meminta pihak berkuasa mendakwa penganjur kumpulan Bersih 5 supaya tidak menganjurkan lagi sebarang perhimpunan seumpamanya selepas ini.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara bertegas dan mendakwa penganjur perhimpunan Bersih 5 dan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk kumpulan Baju Merah yang cuba menimbulkan provokasi bagi mengadakan perhimpunan.

"Jika perhimpunan berlaku ia boleh menimbulkan kekacauan dan mencetuskan huru-hara yang sukar dikawal dalam negara. Ini boleh merosakkan sistem demokrasi dan pentadbiran kerajaan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mewakili gabungan 10 NGO lain membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, Khamis.

Jelasnya, dalam masa terdekat pihaknya akan menghantar memorandum kepada KDN supaya mengambil tindakan terhadap penganjur Bersih 5 atau mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang negara.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah memberitahu sidang media mengenai rancangan pihaknya untuk mengadakan acara konvoi di seluruh negara menjelang perhimpunan itu yang dijadual diadakan pada November nanti. - BERNAMA

Bersih

Artikel Sebelum

SPRM Tahan Lima Anggota JPJ

Artikel Berikut

Pelajar Hilang Ditemukan Selamat

Artikel Lain