suria

Harapan Rakyat Bajet 2017

PETALING JAYA: Pekerjaan, cukai dan isu-isu sosial adalah antara kebimbangan popular rakyat Malaysia dan mereka berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menanganinya menerusi Bajet 2017.

Pada 5 September lalu Perdana Menteri meminta orang ramai berkongsi idea dan pandangan mereka mengenai Bajet 2017 dan ribuan rakyat Malaysia melahirkan kebimbangan mereka di laman https://bajet2017.najibrazak.com.

Hari ini (Rabu) adalah hari terakhir untuk anda berbuat demikian.

Antara cadangan yang popular adalah mengenai kakitangan kontrak dalam perkhidmatan awam supaya diberikan jawatan tetap.

Scharina Sharifin berharap cadangan itu akan dipertimbangkan kerana kakitangan kontrak tidak menikmati faedah persaraan.

"Selain itu bonus sekurang-kurangnya satu bulan akan bermakna kepada kami untuk menangani kos sara hidup yang meningkat," tulisnya.

Zainuddin Ali menyarankan agar kerajaan meminda undang-undang dan pekeliling yang berkaitan untuk membolehkan kakitangan kontrak diserap sebagai kakitangan tetap.

Mengenai isu perumahan mampu milik, Joshua Phua Pei Xing memuji Kerajaan atas usaha dalam menyediakannya terutamanya bagi kumpulan B40 ini.

"Saya harap kerajaan akan memberi tumpuan lebih kepada usaha menyediakan perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana juga!" Katanya.

Sementara itu Ong Boon Teong meminta kerajaan meningkatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pengecualian cukai insurans hayat kepada RM10,000.

"Potongan KWSP bagi seseorang yang mempunyai gaji sebanyak RM5,000 sebulan adalah RM6,000 setiap tahun.

"Bagi keluarga yang mempunyai dua anak, insurans hayat akan menelan kos RM4,000. Oleh itu, pengecualian cukai sebanyak RM10,000 diperlukan," katanya.

Pendaftaran pengundi juga antara isu yang dibangkitkan, dan individu yang hanya dikenali sebagai Nim berkata pendaftaran pengundi automatik perlu dipertimbangkan.

"Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Pendaftaran Negara perlu bekerjasama untuk mendaftarkan pemegang MyKad berusia 21 tahun ke atas secara automatik, dengan kawasan mengundi berdasarkan alamat pada MyKad mereka," kata Nim.

Bajet 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain