suria

Fenomena Air Pasang: 432 Orang Dipindahkan Di Kedah, Bomba Perak Pantau Kawasan Pantai

Empat kediaman di Kampung Teluk Selendang, dekat Bagan Datoh dinaiki air sehingga paras pinggang ekoran fenomena air pasang besar berlaku awal pagi Isnin. -fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Sebanyak 432 orang daripada 113 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan selepas rumah mereka dilanda banjir akibat fenomena air pasang di daerah Kuala Muda.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda Left Muda Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata tiga pusat pemindahan dibuka pada 3 petang Ahad selepas Kampung Paya, Kampung Sungai Yu, Kampung Sungai Meriam, Kampung Padang Salim, Kampung Masjid dan Kampung Ujung Matang dinaiki air sedalam 2.9 meter.

Berikutan itu, seramai 267 orang daripada 78 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Seri Kuala, seramai 85 mangsa daripada 17 keluarga  di Dewan Kampung Paya dan 80 orang daripada 18 keluarga di Surau Kampung Sungai Yu.

"Fenomena air pasang semakin lemah dan jika banjir surut, mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Sementera itu, di PERAK,  Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri sentiasa memantau kawasan berhampiran pantai yang berisiko terjejas berikutan fenomena air pasang besar di negeri itu.

Pengarahnya Datuk Yahaya Madis berkata beliau telah mengarahkan semua balai dan anggota berhampiran kawasan pantai supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir besar.

Setakat ini, jabatan itu menerima laporan mengenai banjir kecil di Bagan Datoh dan Teluk Intan berikutan fenomena air pasang besar pagi tadi dan semua keadaan terkawal, katanya.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak Juhaimi Jusoh berkata situasi air pasang besar yang berlaku di negeri itu tidak seteruk yang melanda Selangor.

"Keadaan dijangka beransur kurang mulai esok," katanya ketika dihubungi.

Empat kediaman di Kampung Teluk Selendang, Teluk Intan, yang terletak berdekatan Sungai Perak, dinaiki air sehingga paras pinggang ekoran fenomena air pasang besar kira-kira 4 pagi pagi.

Setiausaha Pengurusan Bencana Daerah Bagan Datoh Mohd Zaidi Ahmad berkata sehingga 3 petang Isnin, seramai 15 orang daripada dua keluarga dipindahkan dan ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapak Semenang dekat sini.

"Baki dua keluarga lagi akan dipindahkan selewat-lewatnya petang ini walaupun mereka enggan...kita cuba pujuk kerana bimbang keadaan bertambah teruk," katanya kepada pemberita di SK Tapak Semenang hari ini.



Artikel Lain