suria

Pelajar Buat Kajian Hasilkan Vaksin Zika Di Ladang Herba Bapa

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Bioproses, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology (UniKL MICET), yang juga Ketua Penyelidik Nasuha Biotechnology & Biddiversity Sdn Bhd, Hariz Haikal Nasuha membuat penyelidikan bagi menghasilkan vaksin untuk mencegah jangkitan virus Zika di ladang herba terbesar Asia milik ayahnya, Nasuha Kasian di Muar, Khamis. -fotoBERNAMA
MUAR: Seorang pelajar sebuah universiti di kampus Alor Gajah, Melaka, Hariz Haikal Nasuha kini sedang membuat penyelidikan bagi menghasilkan vaksin bagi mencegah jangkitan virus Zika.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Bioproses, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical  and  Bioengineering Technology (UniKL MICET) itu membuat penyelidikan tersebut di ladang herba terbesar di Asia milik bapanya, Nasuha Kasian, 62, seluas 1,295 hektar dekat sini.

Hariz Haikal, yang juga ketua penyelidik Nasuha Biotechnology  and  Biodiversity Sdn Bhd berkata pihaknya mula menjalankan kajian secara makmal sejak enam bulan lepas dan mendapati pati wap campuran enam jenis herba mampu merencatkan sel virus Zika daripada terus merebak.

"Penggunaan pati herba tersebut juga mampu mematikan virus tersebut secara perlahan," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Beliau berkata hasil daripada penyelidikan itu, pihaknya berjaya menghasilkan minyak pati wap berasaskan pati herba campuran yang boleh dimajukan untuk dijadikan vaksin virus Zika.

"Kita menggunakan minyak pati wap bagi menghasilkan penyembur penghalau serangga dengan jenama 'Organic Natural Repellant' yang mengandungi enam jenis herba yang ditanam di ladang yang terletak di Jalan Muar-Pagoh tanpa membabitkan bahan kimia," katanya.

Beliau berkata semburan repelan itu akan bertindak menutup lubang pernafasan nyamuk aedes yang akan menyebabkannya mati serta-merta apabila disembur terus pada nyamuk aedes.

"Ia dihasilkan menggunakan teknologi hijau dan tidak mendatangkan kesan sampingan kepada manusia dan alam sekitar kerana kita menggunakan bahan organik dan bebas daripada bahan kimia dan racun yang mampu mendatangkan kesan sampingan  jangka panjang kepada manusia," katanya.

Hariz Haikal berkata untuk melakukan penyelidikan secara klinikal mengenai kajian tentang kesesuaian pati herba tersebut kepada manusia dalam jangka masa panjang, pihaknya memerlukan masa dan dana yang besar.

Justeru katanya, pihaknya mengalu-alukan bantuan geran daripada kerajaan dan pihak yang berminat untuk mengadakan kerjasama bagi melakukan penyelidikan saintifik secara menyeluruh bagi menghasilkan vaksin virus Zika.

Sebanyak enam kes jangkitan virus Zika dilaporkan di negara ini termasuk  dua kes terbaharu melibatkan adik-beradik dikesan di Miri, Sarawak dan Setapak, Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pembinaan Laluan Kedua MRT Bermula

Artikel Lain