suria

Pembinaan Laluan Kedua MRT Bermula

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir di Putrajaya bagi merasmikan upacara pecah tanah projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bernilai RM32 bilion. -fotoTHESTAR/MohdSaharMisni
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis merasmikan upacara pecah tanah projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bernilai RM32 bilion, yang kedua selepas laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Upacara pecah tanah laluan sepanjang 52.5 kilometer itu menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Greater Kuala Lumpur untuk mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Setakat akhir 2015, penggunaannya adalah sebanyak 25 peratus.

Laluan pertama MRT-SBK, yang dibina pada kos RM23 bilion, kini 89 peratus siap.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Datuk Najmuddin Abdullah berkata laluan SSP akan mempunyai bilangan penumpang harian yang lebih besar sebanyak 530,000 orang, manakala laluan SBK akan menyaksikan  penumpang harian sebanyak 440,000 orang.

Proses tender bagi laluan SSP masih dilaksanakan dengan 23 pakej kerja telah dianugerahkan setakat ini, kata beliau baru-baru ini.

Daripada laluan sepanjang 52.2 kilometer itu, laluan SSP akan mempunyai 24 stesen dengan 11 stesen bawah tanah di sepanjang 13.5 kilometer.

"Pembangunan laluan SSP ini adalah sangat penting untuk pertumbuhan mampan Kuala Lumpur. Ketiga-tiga laluan MRT ini akan menjadi tulang belakang kepada sistem pengangkutan awam di bandar ini, yang juga termasuk transit aliran ringan, monorel dan KTM Komuter.

"Laluan SSP akan menyediakan akses terutamanya ke kawasan pekerjaan, komersil, kediaman, pendidikan dan rekreasi," katanya.

Mengenai pembangunan SBK, Najmuddin berkata metro bersedia untuk memulakan fasa pertama operasinya pada Disember.

"Keseluruhan laluan akan siap untuk digunakan orang ramai pada Julai tahun depan. Setakat ini, kami telah memastikan kos pembangunan dalam anggaran belanjawan," katanya.

Laluan SBK dan SSP akan disokong oleh 58 tren bagi setiap laluan.

Artikel Berikut

Artikel Lain