suria

Dua Anggota Bomba Maut Dalam Kemalangan

KUALA SELANGOR: Dua anggota bomba maut selepas kenderaan pacuan empat roda milik jabatan itu dilanggar sebuah lori tangki dan sebuah kereta Myvi di persimpangan lampu isyarat pekan lama Kuala Selangor di sini, Selasa.

Mangsa dikenal pasti sebagai Amir Hamzah Saharudin, 23, dan Mohd Firdaus Mohd Nazri,28, yang merupakan anggota bomba bantuan.

Dua lagi anggota bomba yang turut berada dalam kenderaan itu, Syazwan Hafifi Jamal dan Abdul Aziz Abdullah cedera dan dirawat di Hospital Tanjong Karang.

Kesemua mangsa berusia lingkungan 20-an.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi ketika kesemua anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor itu dalam perjalanan ke Balai Bomba dan Penyelamat KLIA untuk menghadiri program korban perdana.

"Kenderaan jenis Nissan Navara dinaiki empat anggota bomba terbabit yang keluar dari persimpangan lampu isyarat telah dilanggar sebuah lori tangki yang datang dari arah Klang di bahagian sebelah kanan pacuan empat roda itu.

"Akibat perlanggaran tersebut kenderaan pacuan empat roda itu terbabas dan masuk ke arah jalan bertentangan lalu dilanggar sebuah kereta Myvi yang datang dari arah Teluk Intan, Perak menghala ke Klang," katanya di sini Selasa.

Mohd Sani berkata, Mohd Firdaus disahkan meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang akibat kecederaan parah di kepala manakala Amir Hamzah meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada keluarga dua anggota bomba yang terkorban dalam nahas itu.

"Kita ucap takziah kepada keluarga dua anggota bomba yang terkorban. Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya akan lihat bantuan yang boleh disumbangkan kepada keluarga mereka lebih-lebih lagi kedua-dua mangsa ini adalah orang Tanjong Karang dan sudah menjadi kewajipan saya untuk bantu mereka," katanya kepada pemberita.

Noh yang juga Anggota Parlimen kawasan Tanjong Karang sebelum itu meluangkan masa menziarahi jenazah seorang daripada anggota Bomba yang meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang serta dua anggota Bomba yang cedera akibat kemalangan itu.

Artikel Berikut

MCA Kenal Pasti Awal Calon PRU14

Artikel Lain