suria

Pertemuan Mahathir-Anwar Umpama Lakonan Hindustan - Noh

SUBANG: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menyangkal dakwaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya parti itu kini berada dalam situasi gelisah susulan pertemuan bersejarah antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah Noh menyifatkan tindakan Dr Mahathir bersalaman dengan musuh politiknya sendiri itu sebagai satu lagi lakonan bagi meraih simpati rakyat untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apabila pelbagai cara (untuk jatuhkan Najib) tak berkesan, beliau cuba berkawan dengan Anwar. Ertinya mereka (pembangkang) yang gelisah.

"Saya ketawa tengok lakonan. Ini lakonan apa? Hindustan?" katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Tambah Noh, walaupun pelbagai usaha dilakukan Dr Mahathir dan pembangkang untuk menggulingkan pentadbiran Najib, kerajaan yang ada pada hari ini terus bekerja untuk membela nasib rakyat.

Isnin lalu, Dr Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi memberi sokongan kepada Anwar berhubung kes berkaitan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Kedua-dua mereka bersalaman buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun selepas Mahathir memecat Anwar pada 1998 sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar juga dipecat daripada Umno.

 
 

Artikel Berikut

Artikel Lain