suria

Keluarga Mangsa Dihempap Besi Pencangkuk Kren Tidak Akan Saman BUCG

PETALING JAYA: Keluarga mangsa kemalangan kren, Joice Chin Khoon Sing tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pembinaan BUCG Sdn Bhd.

Abang Khoon Sing, Khoon Ying, 26, berkata, beliau dan keluarganya berpuas hati dan gembira dengan bantuan dan pertolongan yang diberikan oleh BUCG selepas tragedi itu dan telah memutuskan untuk tidak meminta syarikat itu bertanggungjawab.

"Selepas bertemu dengan mereka dan menerima bantuan daripada mereka, kami mencapai satu persefahaman," katanya pada sidang media di Sunway Resort Hotel and Spa di sini Khamis.

Beliau berkata keluarganya tidak akan meneruskan tindakan undang-undang walaupun Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati BUCG bersalah dalam kemalangan tersebut.

"Kami mahu meletakkan tragedi itu di belakang kerana memanjangkannya hanya akan menyebabkan lebih kesakitan," katanya.

Peguam keluarga, Jason Ng Kau mengesahkan bahawa bantuan telah ditawarkan kepada keluarga mangsa termasuk bantuan kewangan.

"Bagaimanapun, kami tidak akan mendedahkan jumlah yang diterima bagi melindungi keselamatan keluarga," katanya.

Khoon Sing, 23, terbunuh seminggu sebelum menyambut hari ulang tahun ke-24 apabila cangkuk kren pembinaan jatuh di atas keretanya dari tingkat 20 ketika dia sedang memandu di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 25 Ogos.

Artikel Lain