suria

Kapasiti Terhad Lapangan Terbang Langkawi Kekang Ketibaan Lebih Ramai Pelancong

Timbalan Menteri kewangan 1 Datuk Othman Aziz (kanan) menjawab pertanyaan media ketika mengadakan lawatan kerja sehari di bagunan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Khamis. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LADA Tan Sri Khalid Ramli (tengah). -fotoBERNAMA
LANGKAWI: Langkawi terlepas peluang untuk mencatatkan ketibaan pelancong yang lebih tinggi ekoran kapasiti lapangan terbangnya yang terhad dan usaha kini sedang dibuat untuk menaik taraf infrastruktur itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz hari ini berkata Kementerian Pengangkutan sedang membuat kajian awal berhubung cadangan pembesaran lapangan terbang itu yang menurutnya perlu bagi menampung lebih ramai pelancong pada masa depan.

"Buat masa ini kita melihat keperluan yang amat mendesak untuk menaik taraf Lapangan Terbang Langkawi yang kini telahpun sampai ke tahap tepu," katanya selepas menghadiri taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli di sini.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Lee Chee Leong turut menghadiri taklimat yang diadakan di Kompleks LADA di sini.

"Kalau bolehlah (cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Langkawi) ini akan dimasukkan dalam Bajet 2017 yang akan datang," katanya.


Sementara itu, Othman mahu potensi golongan muda di Langkawi untuk merebut peluang ekonomi di pulau ini diperkukuhkan lagi menerusi program pembangunan usahawan pelancongan atau "tourpreneur.

"Katanya lepasan institusi pengajian tinggi dalam bidang pelancongan perlu menyertai program ini yang akan menjadi salah satu fokus di bawah Pelan Pelaksanaan Pelancongan Langkawi 2.0 yang akan dilaksanakan tahun ini.

"Kita 'perkasakan' mereka, bantu mereka supaya dapat terlibat secara langsung (dalam keusahawanan pelancongan) dan bukannya sekadar untuk bekerja," katanya.

Beliau turut mencadangkan komuniti di kampung-kampung di Langkawi memupuk identiti tersendiri dengan mengkhususkan kepada penghasilan produk-produk tertentu untuk menarik pelancong.

"Jadikan ia (kampung mereka dan produk) sebagai 'sesuatu mesti yang dilawat dan sesuatu yang mesti dibeli' oleh pelancong-pelancong yang datang ke Langkawi," katanya. 

Artikel Lain