suria

River Cruise Di Tebing Sungai Muar Tarikan Baharu Pelancong

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor sedang membangunkan tebing sungai Muar menjadi 'River Cruise' sebagai satu lagi tarikan pelancongan ke daerah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata buat masa ini pembangunan terbabit sedang giat dilakukan Majlis Perbandaran Muar dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Pesisiran Sungai Muar memiliki kekuatan tersendiri dalam aspek pelancongan seperti Dataran Tanjung Emas yang terkenal sebagai kawasan riadah serta lokasi mendapatkan makanan ikonik daerah itu seperti mi bandung dan asam pedas," katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (PAS-Sungai Abong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di Kota Iskandar di sini, Khamis yang bertanyakan mengenai perancangan kerajaan Johor terhadap Sungai Muar sebagai tarikan pelancongan.

Tee berkata antara tarikan dan keindahan yang dapat dilihat oleh pelancong sepanjang perjalanan menyusuri Sungai Muar ialah Masjid Jamek Muar, Istana Singgah, Kubu Bentayan, Pekan Rabu Muar, Jeti Pengkalan Polis Marin, jambatan pertama serta jambatan kedua Muar.

Katanya Jeti Tanjung Emas baharu yang akan menggantikan jeti sedia ada pula dijangka siap bulan depan dan dijangka dirasmikan tahun ini.

Sehubungan itu, menurut Tee, beliau yakin kewujudan produk pelancongan luar daripada kebiasaan di Muar, akan dapat menarik lebih ramai pelancong terutama yang datang ke Melaka supaya mereka dapat memanjangkan tempoh melancong mereka dengan mengunjungi Muar.

"Kerajaan negeri sentiasa berusaha memperkasa pembangunan di seluruh negeri Johor khususnya dalam industri pelancongan termasuk di daerah Muar. Sebaik sahaja Muar dinaik taraf sebagai Bandar Diraja, pelbagai aktiviti mempromosinya sentiasa ditingkatkan," katanya.-- Bernama

Artikel Lain