suria

Pemilik Lori Bauksit Cuai Sebabkan Kematian Guru Didenda RM28,000

KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang pemilik lori bauksit yang mengakibatkan kematian seorang guru hujung tahun lalu, membayar denda RM28,000 bagi tiga tuduhan.

Hakim Unaizah Mohd turut memerintahkan Teh Ling Hock, 46, yang mengaku bersalah atas semua tuduhan itu menjalani hukuman penjara selama tujuh bulan, jika gagal menjelaskan denda terbabit.

Teh mengaku salah atas tuduhan gagal memberi keutamaan paling tinggi kepada keselamatan pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kematian apabila skru tayar sebelah kiri gandar kedua tercabut dan terpelanting ke arah jalan bertentangan.

Kesalahan itu didakwa berlaku semasa lori dengan nombor pendaftaran MAA 1595 miliknya, yang dipandu Fairul Azman Azmi 26, pada 3 petang, 21 Disember tahun lepas di hadapan Ibam Mining, Jalan Pintasan Kuantan, di sini.

Bagi kesalahan itu, Teh didakwa mengikut Seksyen 58(1)(b)(iii) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 58(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Teh yang beralamat di Puchong Selangor didakwa melakukan pengubahsuaian pada kelengkapan kekal kenderaan dengan penambahan ketinggian panel sisi tanpa kelulusan pada waktu dan tempat yang sama.

Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 73(1) akta yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 73(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Teh yang tenang sepanjang prosiding juga mengaku salah atas tuduhan membawa muatan bauksit melebihi berat iaitu sebanyak 30,090 kilogram (kg), melebihi 43.3 peratus daripada had 21,000kg yang dibenarkan pada hari dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu, Teh didakwa mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 57(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Fakta kes menyatakan lori itu telah mengakibatkan kematian Norhaili Ahmad Zabidi, 40, apabila tayar itu terpelanting dan menghempap bumbung kereta Perodua MyVi yang dipandu guru Sekolah Kebangsaan Balok di sini.

Teh yang tidak diwakili peguam kemudiaanya merayu supaya hukuman denda yang ringan dikenakan ke atasnya atas alasan beliau kini menjalankan perniagaan dan perlu menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah dan ibu berusia 80 tahun.

Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Nurashikin Ja'alan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan berkaitan operasi mengangkut bauksit mencatatkan kompaun tertinggi pada tahun lalu di wilayah Timur.

"Kesalahan ini mengakibatkan kematian pengguna jalan raya dan operasi pengangkutan muatan lerai seperti bauksit yang tidak mengikut peraturan juga boleh mendatangkan bahaya apabila muatan yang dibawa tumpah daripada lori. 

"Kami memohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada semua operator pengangkutan bauksit bagi kepentingan awam. Tindakan penggantungan lesen milik orang kena saman juga telah dilakukan pada 16 April lalu," katanya. 

Teh menjelaskan denda itu dan memaklumkan Fairul Azman tidak lagi bekerja dengannya selepas kejadian itu. -- Bernama 


bauksit, guru, Teh Ling Hock

Artikel Lain