suria

Wanita Jual Pelekat Sijil Perisian Microsoft Palsu Dicekup

Penolong Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Farhana Nadya Ibrahim menunjukkan pelekat Pengesahan Ketulenan Microsoft 7 dan 10 palsu yang dirampas daripada seorang wanita di Petaling Jaya pada sidang akhbar, Rabu. -fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Seorang wanita berusia 33 tahun dipercayai menjual pelekat sijil ketulenan Microsoft Windows 7 dan Windows 10 palsu ditahan petang Selasa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Selangor.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, wanita berkenaan ditahan di sebuah restoran makanan segera di Petaling Jaya dan pihaknya merampas sebanyak 108 pelekat berkenaan yang dipercayai ditempah daripada China.

"Tangkapan itu merupakan hasil siasatan dan intipan selama dua minggu oleh pihak kami susulan daripada aduan orang awam.

"Pelekat yang hampir sama dengan pelekat tulen ini dijual pada harga RM80 hingga RM90 sekeping kepada pengusaha kedai-kedai komputer di sekitar Lembah Klang.

"Pengusaha kedah itu kemudian meletakkan pelekat itu di komputer yang dibeli pelanggan dan mengenakan bayaran yang sama dengan harga perisian tulen," katanya dalam sidang media di sini Rabu.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati wanita itu yang menjual pelekat itu selama tujuh bulan mengiklankan penjualan pelekat di Internet dan media sosial dengan proses pembelian pelekat dilakukan di tempat tertentu bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

"Difahamkan harga perisian tulen untuk produk berkenaan adalah kira-kira RM800, oleh itu pengguna dinasihatkan berhati-hati dan melaporkan kepada pihak kami jika menjadi mangsa peniaga tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan denda RM10,000 bagi sekeping pelekat dan penjara tidak lebih tiga tahun jika didapati bersalah.

Artikel Berikut

Artikel Lain