suria

JAS Siasat Kejadian Ikan Mati Di Sungai Lamah

KUCHING: Jabatan Kimia Bintulu sedang menganalisis sampel air yang diambil dari Sungai Lamah, kira-kira 100 kilometer dari Miri, susulan laporan mengenai banyak bangkai ikan ditemukan terapung di sungai itu beberapa hari lepas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sampel itu diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) atas arahannya supaya disiasat kejadian itu dan keputusannya akan diumumkan dalam masa dua atau tiga minggu lagi.

Menurutnya jabatan itu mengkaji kemungkinan sama ada kejadian itu berpunca daripada sisa buangan yang dilepaskan sebuah kilang sawit yang terletak kira-kira 20km dari tempat kejadian.

"Sehubungan itu, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa JAS tidak teragak-agak mengambil langkah perlu mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 terhadap individu atau syarikat yang bertanggungjawab mencemarkan sungai berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Wan Junaidi berkata kementerian itu juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perbuatan mencemarkan alam sekitar dan beliau sekali lagi mengingatkan pengusaha kilang sawit supaya bersikap lebih bertanggungjawab melindungi alam sekitar.

Sebuah akhbar harian melaporkan seorang Tuai Rumah, Seman Ringgie, berkata pelbagai spesies ikan kelihatan terapung di sepanjang sungai berkenaan Rabu lepas.

Namun, semasa pasukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta JAS dari Miri ke lokasi itu untuk mengambil sampel pada Jumaat, semua bangkai ikan berkenaan telah dihanyutkan air pasang. -Bernama

Ikan Mati, Sungai Lamah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain