suria

72 Individu Ditahan Dalam Parti Dicemari Salah Guna Dadah

JOHOR BARU: Polis menahan 72 individu selepas menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Nusa Bestari di sini awal pagi Rabu selepas didapati menganjurkan parti dicemari penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, bertindak atas maklumat, kesemua mereka yang berumur 14 hingga 26 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di beberapa bilik di pangsapuri itu mulai 2 pagi hingga 4 pagi tadi.

Parti yang mencemari sambutan Hari Kebangsaan ke-59 itu didapati baru sahaja hendak dimulakan sebelum digagalkan pasukan polis, katanya dalam satu kenyataan, di sini, Rabu.

"Ujian saringan air kencing kemudian mendapati seramai 35 lelaki termasuk empat lelaki di bawah umur, positif pelbagai jenis dadah.

"Seramai 10 wanita termasuk empat di bawah umur turut didapati positif terhadap pelbagai jenis dadah," katanya.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan. 

Polis, sehubungan itu, menasihati ibu bapa supaya mengawasi anak masing-masing bagi mengelak daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral dan terpengaruh dengan gejala dadah, katanya.

Artikel Lain