suria

Ogos, Bulan Sibuk Buat Tukang Jahit Baju Jalur Gemilang

KOTA TINGGI: Sepanjang Ogos setiap tahun, tukang jahit di Kampung Gembut di sini sentiasa sibuk kerana menerima banyak tempahan baju berasaskan Jalur Gemilang untuk sambutan Hari Kebangsaan.

Rozita Abd Manap, 35 berkata, sejak membuka kedainya lapan tahun lalu, baju yang dihasilkan menggunakan bendera negara itu dalam pelbagai saiz mendapat perhatian ramai.

"Saya mula mengambil tempahan untuk baju Jalur Gemilang sejak lima tahun lalu dan kebanyakan pelanggan di kalangan guru, pelajar dan penduduk sekitar Tanjung Sedili.

"Selalunya saya akan cuba sebaik mungkin untuk memenuhi permintaan pelanggan mengikut rekaan yang mereka mahu walaupun ada kalanya ia agak sukar," katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Gembut di sini, Rabu.

Fabrik nilon yang menghasilkan Jalur Gemilang juga menyukarkan beliau untuk menjahit menggunakan mesin kerana ia agak licin dan perlu diseterika dahulu sebelum mula memotong dan menjahit sehingga menghasilkan rekaan yang ditempah pelanggan.

Rozita berkata, antara rekaan yang ditempah termasuk kurta, baju melayu, baju kurung moden, peplum, baju kebaya dan kemeja.

Ibu kepada tiga cahayamata itu berkata, kebiasannya dia menggunakan antara empat hingga tujuh helai bendera berukuran 2x4 untuk dicantumkan menjadi baju dan ia dijual antara RM30 dan RM70 setiap satu.

"Bagi sambutan Merdeka tahun ini, saya terima 50 tempahan bernilai RM1,000 daripada individu dan murid tadika serta sekolah rendah.

"Selain baju, ada juga yang menempah songkok yang disarung Jalur Gemilang dan wau tradisional berasaskan bendera negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain