suria

Pengerusi MyWatch Dituduh Palsukan Kelayakan Akademi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R.Sri Sanjeevan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini sekali lagi bagi menghadapi pertuduhan menipu dengan memalsukan kelayakan akademiknya.

Sanjeevan, 32, mengaku tidak bersalah di hadapan majistret Mohd Faizal Ismail selepas tuduhan itu dibacakan kepadanya.

Dia dituduh memperdaya seorang pengarah syarikat S.Sivam, 53, dengan mendakwa dia (Sanjeevan) memiliki ijazah undang-undang dan perniagaan dari Northumbria University dan satu lagi dari Camden University bagi melantiknya sebagai perunding perniagaan dengan Solid Transactions Sdn Bhd.

Tindakan tertuduh menyebabkan Sivam menyerahkan lebih RM95,000 kepadanya (Sanjeevan).

Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun.

Dia jugaboleh dihukum sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Sanjeevan juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan menipu Sivam dengan mempercayai bahawa dia memiliki dua ijazah undang-undang dan perniagaan daripada universiti yang sama bagi melantiknya sebagai perunding perniagaan di syarikat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara untuk tempoh sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesalahan-kesalahan yang didakwa itu telah dilakukan di Cheras Leisure Mall, Taman Segar, Cheras di sini pada 1 Jun, 2013.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon supaya mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000. 

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Sanjeevan merayu kepada mahkamah agar mengurangkan jumlah itu kerana jaminan RM20,000 itu tidak adil dan anak guamnya juga mempunyai tiga lagi pertuduhan lain yang kini sedang dibicarakan.

Majistret menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Okt untuk sebutan semula. Sanjeevan turut mengaku tidak bersalah bulan lalu dan awal bulan ini untuk tuduhan peras ugut di Negeri Sembilan, Pahang dan Kuala Lumpur.  -Bernama

Datuk R.Sri Sanjeevan, MyWatch

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain